Johari Abdul umum kekosongan dua kerusi Parlimen PKR

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul mengumumkan berlaku kekosongan luar jangka bagi kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa susulan peletakan jawatan Ahli Parlimennya berkuat kuasa 18 Mei lalu.

Menurut Johari, kekosongan itu berlaku selepas beliau menerima notis daripada Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, berhubung peletakan jawatan masing-masing sebagai Ahli Dewan Rakyat.

Menerusi kenyataan hari ini, beliau berkata, beliau sudah memaklumkan perkara berkenaan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selaras dengan Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan bagi tindakan lanjut.

“Sebarang keputusan berkaitan pelaksanaan pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Pandan dan Parlimen Setiawangsa adalah tertakluk kepada pertimbangan dan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya,” katanya.

Pada 17 Mei lalu, Rafizi dan Nik Nazmi masing-masing bekas Timbalan Presiden PKR dan bekas Naib Presiden PKR mengumumkan keluar parti.

Susulan itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh, berkata parti itu menggugurkan keanggotaan Rafizi dan Nik Nazmi mengikut Fasal 9 (1)(c) dalam Perlembagaan parti selepas menerima hasrat keluar parti daripada mereka.

BACA JUGA BN, GPS dan GRS beri jaminan: Anwar kekal hingga tamat penggal