Jomo dakwa sistem makanan dunia makin dikuasai korporat?
Ahli ekonomi terkenal, Jomo Kwame Sundaram memberi amaran bahawa dasar makanan global kini semakin dipengaruhi syarikat agribisnes transnasional yang lebih mementingkan keuntungan berbanding keselamatan makanan rakyat dunia.
Dalam artikel bersama Felice Noelle Rodriguez bertajuk Food Systems and Policies Undermining Food Security, Jomo berkata syarikat-syarikat besar makanan kini semakin berpengaruh dalam menentukan hala tuju dasar pertanian, pengeluaran dan pengedaran makanan di peringkat antarabangsa.
Menurut beliau, keadaan itu menyebabkan usaha menjamin sekuriti makanan dunia semakin bergantung kepada kepentingan korporat dan geopolitik kuasa besar.
Artikel itu turut mengimbas bagaimana isu sekuriti makanan menjadi agenda utama dunia selepas Perang Dunia Kedua apabila banyak negara mengalami kebuluran dan kekurangan makanan yang serius.
Jomo dan Rodriguez turut menyentuh tragedi kebuluran Bengal di India yang mengorbankan lebih tiga juta nyawa ketika era penjajahan British, apabila kepentingan empayar dan ketenteraan diutamakan berbanding keperluan rakyat.
Menurut mereka, selepas era penjajahan, pelbagai organisasi antarabangsa termasuk Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) memainkan peranan besar membentuk dasar sekuriti makanan negara-negara membangun.
Namun, keadaan berubah apabila pengaruh neoliberalisme dan liberalisasi perdagangan mula menghakis keupayaan negara membangun melindungi sektor makanan dan pertanian tempatan sejak 1980-an.
Artikel itu turut mengkritik bagaimana konglomerat makanan global mempromosikan petunjuk sekuriti makanan yang lebih mesra import sehingga melemahkan konsep kedaulatan makanan sesebuah negara.
Dalam masa sama, Jomo memberi perhatian kepada perkembangan politik Amerika Syarikat di bawah pentadbiran Donald Trump yang menurutnya semakin menggunakan dasar ekonomi, tarif dan bantuan makanan sebagai senjata geopolitik.
Katanya, langkah Washington menghentikan bantuan kemanusiaan dan makanan dunia atas alasan pengurangan perbelanjaan kerajaan memberi kesan besar kepada negara miskin dan konflik kemanusiaan global.
Artikel itu turut membangkitkan isu Gaza dengan mendakwa bantuan makanan kini semakin dipolitikkan sehingga akses makanan boleh dijadikan alat tekanan dan kawalan terhadap penduduk awam.
Menurut mereka lagi, walaupun statistik kemiskinan global menunjukkan penurunan, indikator sekuriti makanan FAO pula memperlihatkan keadaan semakin merosot sejak sedekad lalu.
Keadaan itu, kata mereka, menunjukkan banyak dasar berkaitan kemiskinan dan sekuriti makanan dunia hari ini mungkin gagal memahami realiti sebenar rakyat miskin.
BACA JUGA Projek rel Gemas-JB: Jangan ‘claim’ macam projek sendiri, Persekutuan yang bantu kerajaan BN Johor