PMX puji semangat luar biasa skuad takraw negara
Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan tahniah kepada skuad sepak takraw negara selepas berjaya muncul juara acara kuadran Piala Dunia Sepak Takraw dengan menewaskan India 2-0.
Menurut beliau, kemenangan itu bukan sahaja mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa, malah membuktikan kecekalan dan kemampuan atlet tempatan untuk terus bersaing di peringkat dunia.
“Kejayaan ini bukan sekadar mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia, malah membuktikan anak watan memiliki kecekalan, kesatuan tekad dan kemampuan untuk terus bersaing serta mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Perdana Menteri turut menyifatkan aksi dipamerkan skuad negara penuh dengan semangat, disiplin dan daya juang tinggi.
“Syabas wira negara. Semangat juang yang dipamerkan menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia,” katanya lagi.
Kemenangan tersebut terus mencetuskan gelombang sokongan di media sosial apabila ramai rakyat Malaysia menyifatkan sepak takraw sebagai antara sukan warisan yang terus mengangkat nama negara di arena antarabangsa.
BACA JUGA Jomo dakwa sistem makanan dunia makin dikuasai korporat?