Isu titah Sultan dan hina sahabat Nabi sama berat, jangan diperalatkan demi politik

Angkatan Wanita AMANAH (AWAN) Selangor menegaskan, titah Sultan Sharafuddin Idris Shah wajar diterima secara terbuka dan penuh adab oleh semua pihak, namun mengingatkan ia bukannya tiket untuk mengeruhkan lagi keadaan demi kepentingan politik tertentu.

Pengarahnya, Nooraimi Hani Ahmad Suhaimi berkata, isu penghinaan terhadap sahabat Rasulullah SAW juga merupakan perkara yang amat kritikal untuk diberi perhatian serius oleh seluruh umat Islam. 

Perkara ini menurutnya, bukan sekadar polemik biasa, tetapi menyentuh soal adab terhadap Rasulullah SAW, kemuliaan para sahabat Baginda serta pegangan aqidah umat Islam sendiri.

Beliau menyatakan rasa bimbang apabila wujud pihak yang terlalu ghairah memainkan naratif tertentu sehingga isu penghinaan terhadap sahabat Rasulullah SAW seolah-olah tenggelam dan dipinggirkan daripada perhatian umum. 

“Sedangkan mempertahankan kesucian agama serta menghormati insan yang dimuliakan dalam Islam sepatutnya menjadi pendirian yang jelas dan tidak bermusim.

“Menjunjung Titah Tuanku dan mempertahankan kesucian agama bukanlah dua perkara yang bercanggah. 

“Kedua-duanya perlu dilaksanakan dengan kebijaksanaan, adab dan rasa tanggungjawab terhadap keharmonian negeri serta kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan pagi ini.

Nooraimi berkata, apa yang harus dielakkan ialah budaya menangguk di air keruh, mengapi-apikan sentimen dan menjadikan isu sensitif sebagai pentas meraih pengaruh politik.

Ujarnya, rakyat hari ini mampu membezakan antara suara yang benar-benar mahu memelihara institusi Diraja dan mempertahankan kesucian agama, dengan pihak yang hanya muncul ketika isu tertentu memberi keuntungan politik kepada kelompok mereka.

BACA JUGA Berbeza pandangan sekali pun, adab dengan Insitusi Diraja perlu dijaga – WARDA