Janji Bulan Bintang? – Pakar dakwa manifesto Rafizi macam ‘angan-angan Mat Jenin

Manifesto Parti Bersama Malaysia yang dibentangkan Datuk Seri Rafizi Ramli disifatkan terlalu idealistik dan sukar dilaksanakan dalam realiti pentadbiran negara sehingga diibaratkan seperti “angan-angan Mat Jenin”.

Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Profesor Madya Dr Mashitah Mohd Udin berkata walaupun 12 agenda yang diketengahkan Rafizi kedengaran menarik, kebanyakannya lebih bersifat populis berbanding pelan dasar yang benar-benar praktikal.

Menurut laporan Astro Awani, beliau berkata manifesto tersebut dipenuhi sasaran besar tetapi tidak disertakan mekanisme pelaksanaan yang jelas termasuk soal pembiayaan, kos dan keutamaan fiskal negara.

“Dalam bidang dasar awam, sesiapa sahaja boleh menyebut mahu bantuan bulanan universal, pertumbuhan ekonomi lebih lima peratus, kenaikan gaji tahunan atau penjagaan kanak-kanak universal.

“Namun persoalan utama ialah bagaimana semua itu mahu dibiayai dan dilaksanakan dalam keadaan fiskal negara yang terbatas,” katanya.

Mashitah berkata cadangan bantuan bulanan automatik kepada semua isi rumah misalnya akan memberi implikasi kewangan yang sangat besar kepada kerajaan sekiranya tidak dijelaskan secara terperinci.

Beliau turut mempertikaikan bagaimana sasaran pertumbuhan ekonomi melebihi lima peratus dan kenaikan gaji tahunan boleh dicapai secara konsisten sedangkan ekonomi global dipengaruhi pelbagai faktor termasuk perdagangan, pelaburan, kestabilan politik dan keyakinan pasaran.

“Malah negara maju sendiri tidak mampu menjamin pertumbuhan tinggi secara konsisten untuk tempoh panjang seperti dijanjikan.

“Sebab itu saya melihat manifesto ini seolah-olah menyerupai ‘angan-angan Mat Jenin’ yang sedap didengar tetapi terlalu idealistik dan tidak berpijak pada realiti pentadbiran negara,” katanya lagi menurut Awani.

Dalam masa sama, beliau berkata rakyat juga berhak mempersoalkan mengapa sebahagian besar idea tersebut tidak diperjuangkan secara agresif ketika Rafizi masih berada dalam Kabinet sebagai Menteri Ekonomi sebelum ini.

Menurut Mashitah, jika Parti Bersama mahu bergerak secara solo dalam PRU16, persoalan lebih besar ialah bagaimana semua agenda besar tersebut mahu dilaksanakan tanpa sokongan gabungan politik memandangkan sistem politik Malaysia bergantung kepada kerajaan campuran.

Katanya, jika akhirnya Parti Bersama tetap perlu bekerjasama dengan parti lain untuk membentuk kerajaan, idealisme yang sedang dijual hari ini juga akhirnya akan berdepan kompromi politik yang sama seperti dialami kerajaan terdahulu.

BACA JUGA Kenapa LRT Penang tak tender terbuka? – MOT tampil jawab dakwaan ‘projek kroni’