Malaysia cipta ubat herba bantu pesakit kanser? 

Malaysia mencipta satu lagi pencapaian penting dalam bidang farmaseutikal apabila produk herba tempatan, Nuvastatic, berjaya melepasi Ujian Klinikal Fasa 3 bagi membantu merawat kesan sampingan kemoterapi pesakit kanser payudara tahap lanjut.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berkata kejayaan itu dicapai menerusi pembangunan ubat botani oleh NatureCeuticals Sdn Bhd di bawah Inisiatif Projek Pemacu Pertanian: Produk Herba Bernilai Tinggi.

Menurut kementerian itu, Nuvastatic dibangunkan khusus untuk membantu pengurusan Kelesuan Berkaitan Kanser (Cancer-Related Fatigue, CRF) dalam kalangan pesakit yang sedang menjalani rawatan.

KPKM berkata keseluruhan proses pembangunan produk berkenaan melibatkan penyelidikan sejak 2011 merangkumi penemuan awal, kajian praklinikal, pembangunan formulasi, penyediaan pengilangan Good Manufacturing Practice (GMP) serta ujian klinikal terkawal secara rawak.

“Pencapaian ini menandakan satu detik bersejarah bagi Malaysia dan merupakan antara kejayaan paling signifikan negara dalam pembangunan penyelidikan farmaseutikal dan onkologi,” menurut kenyataan kementerian hari ini.

Kementerian itu berkata kejayaan berkenaan membuktikan kemampuan Malaysia menghasilkan inovasi terapeutik bernilai tinggi berasaskan biodiversiti tempatan mengikut piawaian saintifik antarabangsa.

Menurut kenyataan itu lagi, Nuvastatic kini sudah digunakan oleh pakar onkologi tempatan serta beberapa rangkaian penyedia penjagaan kanser antarabangsa termasuk di Malaysia.

NatureCeuticals turut dilaporkan sedang mengadakan perbincangan strategik dengan syarikat farmaseutikal antarabangsa bagi tujuan pengedaran dan pelesenan produk itu di peringkat global.

KPKM turut merakamkan penghargaan kepada Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), penyelidik klinikal, pakar onkologi serta pesakit yang terlibat dalam pembangunan produk berkenaan.

BACA JUGA OIC kecam sekeras-kerasnya keganasan, penghinaan tentera Israel terhadap aktivis flotila