Bukan semua titah lawan Putrajaya!, pembangkang putar isu Raja-Raja
Oleh FAIRUL AL QASAS
Agak lucu, dikumpulkan titah Di-Raja yang mereka anggap melawan Kerajaan Madani. Tetapi titah DYMM Yamtuan Besar Negeri Sembilan agar Datuk Seri Aminuddin Harun atau Tok Min meneruskan pentadbiran kerajaan negeri, mereka sendiri lawan.
Begini, apabila Sultan bertitah tentang ekonomi negeri, hasil negeri, alam sekitar atau isu rakyat, ia memang dalam sistem Raja Berperlembagaan, dan itu fungsi institusi diraja.
Raja bukan sekadar simbol istiadat. Raja ialah payung negeri dan suara kepentingan negeri.
1) Titah DYMM Sultan Kedah berkaitan status bebas cukai Langkawi.
Faktanya mudah.
Yang menarik balik status bebas cukai rokok di Langkawi bukan Kerajaan Madani. Dasar itu bermula semasa Belanjawan 2020/21 era kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah Tan Sri Mahiaddin Yassin.
Maka apabila Sultan Kedah bertitah mengenai Langkawi, ia bukan bermaksud Baginda menyerang Kerajaan Persekutuan.
Baginda bercakap soal ekonomi negeri Kedah. Dan itu perkara biasa dalam pembukaan DUN.
Tambahan pula, ramai pemain industri pelancongan sendiri mengakui status bebas cukai hari ini sudah tidak sekuat dahulu.
Yang banyak terkesan cuma rokok dan arak. Coklat pula kebanyakannya sudah dikilang dalam negara. Kereta import pun tidak boleh dibawa keluar dari pulau dalam tempoh tertentu.
Jadi, titah itu lebih kepada saranan memperkukuh ekonomi Langkawi.
2) Titah DYAM Pemangku Sultan Johor mengenai 25 peratus hasil negeri.
Saya hormat tuntutan itu. Setiap negeri memang mahu lebih banyak hasil untuk pembangunan domestik.
Namun, akhirnya kita semua terikat dengan kerangka Perlembagaan Persekutuan.
Tiada peruntukan khusus yang mewajibkan Kerajaan Persekutuan memulangkan 25 peratus hasil kepada negeri-negeri di Semenanjung.
Yang ada secara khusus ialah hak Sabah sebanyak 40 peritus dan Sarawak melalui peruntukan tertentu dalam Perlembagaan.
Namun, itu tidak bermaksud Johor tidak boleh berunding atau menuntut tambahan peruntukan. Dalam politik federalisme, rundingan pusat-negeri memang sentiasa berlaku.
Cuma ia perlu bergerak dalam saluran undang-undang dan Perlembagaan negara.
3) Isu titah Sultan Selangor berkaitan babi pula lebih kepada isu alam sekitar dan sensitiviti rakyat setempat.
Berunding bukan derhaka
Ada yang pelik apabila Kerajaan Persekutuan khusus PMX Anwar Ibrahim mohon bincang semula soal ladang babi di Selangor.
Ramai tuduh derhaka.
Ada kata tak faham bahasa.
Sebenarnya begini, peranan Perdana Menteri ialah menjalankan pentadbiran dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan. Dalam banyak-banyak tugas PM, saya ulas dua tugas PM.
- Hal Ehwal Antarabangsa/Dalam Negeri: PM Menjadi jurucakap utama negara, sama ada dalam hal ehwal luar negara mahupun dalam negeri.
- Menjaga Kestabilan & Pembangunan: Memastikan kemakmuran ekonomi, mengukuhkan perpaduan kaum, dan meningkatkan taraf hidup rakyat.
Atas dua peranan ini, maka PMX menjadi jurucakap dan jururunding utama melibatkan soal Persekutuan-Negeri.
Sebab itu apabila ada isu yang dibangkitkan oleh negeri, khususnya oleh Tuanku Raja-Raja, maka PMX ke depan untuk berunding.
Antara kejayaan PMX ialah memastikan program Sukan Malaysia (SUKMA) berjaya diteruskan, yang mana pada awalnya di titahkan oleh DYMM Tuanku Sultan Selangor untuk dibatalkan.
Cuba bayangkan jika selepas di titahkan batal, Kerajaan Persekutuan dan Negeri yang sepatutnya menjadi tuan rumah mengambil sikap hanya menurut.
Dengan membiarkan segala kerugian, menjatuhkan moral anak-anak yang dah berbulan berlatih, terpaksa bayar kos-kos lain seperti penginapan dan makanan yang telah di tempah awal.
Sebab itu perlu ada usaha pencerahan kepada DYMM Tuanku.
Setelah diberikan pencerahan, jika Tuanku masih kekal dengan keputusan Baginda, maka selesailah tugas Kerajaan Persekutuan dan Negeri dalam soal menasihati Baginda.
Penyokong PN marah?
Penyokong PN maki?
Tak apa. Itu mereka, sekumpulan manusia yang sukar di ubah. Apa pun kita buat, mereka akan maki.
InsyaAllah penyokong teras PH dan atas pagar melihat bahawa inilah Kerajaan yang bekerja menurut Undang-undang dan perlembagaan.
Yang mempertahankan hak rakyat yang di jamin perlembagaan dan berlaku adil kepada semua.
Teruskan buat benda betul.
4) Titah Tengku Mahkota Pahang.
saya berpeluang untuk meneroka Hutan Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal (RHL).
Untuk makluman, RHL ni merupakan Warisan ASEAN dan menawarkan kepelbagaian diversiti.
Hutan ini merupakan satu rizab hidupan liar terbesar di Semenanjung Malaysia berkeluasan 605.52 km2 yang terletak di Banjaran Titiwangsa, di tengah negeri Pahang, yang telah diwartakan sewaktu Pentadbiran British di Tanah Melayu.
Ia diwartakan secara rasmi untuk melindungi semua hidupan liar, terutama sekali seladang (Bos gaurus). Pada November 2022 ia di namakan dengan Tengku Hassanal.
Sedikit sejarah Tengku Hassanal menjadi Pemangku Raja Pahang (PRP) semasa ayahanda beliau menjadi YDPA:
Semasa era Baginda menjadi PRP, rakyat melihat Tuanku sebagai cahaya yang memberi harapan terhadap isu alam sekitar di Pahang.
Bermula dengan Baginda tegas menghentikan kerosakan yang berlaku di Tasik Chini.
Kemudian banyak lagi ucapan baginda yang menjenamakan Baginda sebagai pejuang alam sekitar khususnya di Pahang.
Kemuncaknya nama Baginda Tuanku Hassanal di abadikan kepada Hutan Rezab Hidupan Liar di Lanchang, Pahang. Namun hutan ini sebenarnya lebih luas kerana meliputi daerah Temerloh (Lanchang), Jerantut (Kuala Krau) dan Raub (Lembah Klau).
Namun kelmarin dalam Titah pembukaan DUN Pahang, Tengku Hassanal sebagai Tengku Mahkota Pahang telah mengeluarkan ucapan yang agak bercanggah dengan ‘jenama’ Tuanku sebelum ini.
Saya petik laporan Berita Harian:
- Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kecewa apabila Kerajaan Pusat tidak meluluskan usaha Pahang menambahkan hasil negeri seperti MENGEKSPORT pasir sungai.
- Baginda bertitah, ini memandangkan Pahang memiliki sungai yang terpanjang di Semenanjung dan sudah tentu banyak MMENDAPAN pasir yang perlu dikeluarkan agar kelancaran pengaliran air sungai berlaku seterusnya mengelakkan banjir.
- Titah baginda, sebelum ini, Pahang dapat menambahkan hasil negeri berpuluh-puluh juta dengan EKSPORT PASIR ke negara lain tetapi malangnya, Kerajaan Pusat tidak lagi membenarkannya sekarang sedangkan hasil tanah dan pasir adalah hak negeri.
- “Kerajaan Pusat seharusnya tidak menafikan pengorbanan negeri ini dan lebih mengutamakan Pahang yang merupakan negeri yang terbesar di Semenjung,” titah baginda.
- Dalam pada itu, baginda mahu Kerajaan Pusat memberikan kuasa dan ruang yang lebih kepada kerajaan negeri apabila melaksanakan satu-satu projek.
- “Sekali lagi, saya tegaskan bahawa kerajaan pusat semestinya teliti semula perkara ini, hak negeri Pahang sepatutnya dikembalikan semula kepada Pahang.
- “Janganlah satu hari nanti, negeri Pahang MMENGAMBIL TINDAKAN terhadap KERAJAAN PERSEKUTUAN,” titah baginda.
Kenapa saya kata bercanggah dengan ‘jenama’ Tuanku? Saya merujuk Tuanku sebagai pejuang alam sekitar.
Kerana umum mengetahui bahawa aktiviti mengorek pasir ini jika tidak terkawal akan merosakkan alam.
Aktiviti mengorek pasir akan:
i. Menjejaskan tebing sungai dan merosakkan sekitarnya, seperti jalan, rumah dll.
ii. Mencemarkan sungai sebagai sumber air dan bekalan air.
Pasir apabila dibenarkan di eksport pula akan menyebabkan
i. Harga pasir untuk kegunaan tempatan turut meningkat. Kos pembinaan akan meningkat.
ii. Risiko geopolitik berikutan pembeli terbesar adalah dari negara yang kurang pasir semulajadi kerana sungai yang pendek, tidak lain dan tidak bukan iaitu Singapura.
Malah, rekod juga menunjukkan 95 peratus pembeli pasir Malaysia ialah dari Singapura.
Tambakan laut dan pembesaran Singapura menjadi ancaman kepada Malaysia sendiri termasuk ancaman kepada ekonomi Malaysia.
Sebenarnya, tiada isu pun untuk Pahang mengorek pasir yang menjadi mendapan di sungai dan mengundang banjir.
Tiada halangan juga untuk jual pasir tersebut kepada dalam negeri Pahang dan lain-lain negeri.
Yang Kerajaan Persekutuan halang ialah eksport.
Sejujurnya saya keliru dengan titah di DUN Pahang tersebut, apatah lagi apabila Tuanku menyebut “Janganlah satu hari nanti, negeri Pahang mengambil tindakan terhadap Kerajaan Persekutuan.”
Saya fikir kenyataan keras itu menyebabkan PMX Anwar Ibrahim terpaksa menjawab dengan segera.
Namun, jawapan PMX itu menjadi polemik kerana diambil kesempatan oleh pihak pembangkang.
Tiba-tiba ramai penyokong pembangkang menyokong usaha mengeksport pasir ke luar negara.
Tiba-tiba aktiviti pengorekan pasir penting untuk ekonomi negeri tanpa menghiraukan kesan alam sekitar. Sedangkan sebelum ini ramai yang peka.
Saya cuba bersangka baik dengan berfikir mungkin ucapan itu disediakan oleh Kerajaan Negeri Pahang. Namun, ‘sangka baik’ begitu juga boleh dianggap sebagai merendahkan Tuanku.
Tapi, saya tetap fikir ia ada kaitan dengan Kerajaan Negeri.
Mungkin Kerajaan Negeri berhasrat untuk meminta pampasan kerana kerugian hasil yang sepatutnya mereka perolehi, tetapi terhalang dengan arahan tersebut.
Mungkin…
Apa pun, saya berharap isu ini dapat diselesaikan segera.
Jenama Tengku Hassanal sebagai pejuang alam sekitar harus di pelihara dengan baik. Jangan rosakkan dengan tindakan pihak tertentu.
Saya yakin, semua rakyat dapat melihat betapa ikhlasnya Tuanku semasa mempertahankan alam sekitar dan usaha menjadikan Pahang sebagai contoh terbaik penjagaan alam sekitar.
Anak merbah di atas para,
Terbang rendah mencari makan,
Alam dijaga bumi sejahtera,
Rakyat bertuah hidup aman.
Sungai jernih ikan berenang,
Hutan hijau tempat berteduh,
Tengku Hassanal disanjung rakyat Pahang,
Prihatin alam negeri yang teduh.
Pentaksub politik
Kepada netizen, tidak semua titah perlu dibaca dengan lensa ‘kerajaan pusat lawan istana’.
Kadang-kadang yang terlalu ghairah membaca konflik ini sebenarnya para pembangkang dan pentaksub politik.
Kesimpulannya mudah.
Dalam sistem Raja Berperlembagaan, Raja-Raja Melayu berfungsi sebagai semak dan imbang moral serta institusi kepada kerajaan.
Apabila Baginda bertitah mengenai ekonomi, alam sekitar atau hasil negeri, ia tidak semestinya bermaksud wujud peperangan politik dengan Putrajaya.
Malangnya, ada pihak cuba mempolitikkan setiap titah demi membina naratif bahawa institusi diraja sedang ‘memberontak’ terhadap kerajaan pusat.
Sedangkan realitinya, kebanyakan titah tersebut lahir daripada keperluan negeri masing-masing.
Dan satu perkara yang ramai lupa.
Dalam urusan rasmi kerajaan negeri termasuk titah pembukaan DUN, kandungan ucapan lazimnya disediakan atau disemak bersama oleh pentadbiran kerajaan negeri sendiri.
Sebab itu aku kata, jangan terlalu gelojoh mentafsir politik pada setiap titah Raja-Raja Melayu.
BACA JUGA Jangan jadi barah reformasi!, senior PKR ini bidas Rafizi, puji sikap ‘gentleman’ Razeef