PMX singgah HKL, sempat tanya khabar pesakit dan petugas kesihatan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluangkan masa meninjau operasi di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sambil menyantuni pesakit serta petugas kesihatan yang sedang bertugas.

Menerusi perkongsian di media sosial, Anwar berkata beliau turut mengambil kesempatan bertanya khabar orang ramai yang mendapatkan rawatan di hospital berkenaan selain mendoakan agar mereka diberikan kesembuhan dan dipermudahkan segala urusan.

“Doa saya agar mereka diberikan kesembuhan, dipermudah segala urusan dan terus dikurniakan kekuatan,” katanya.

Dalam lawatan itu, Anwar turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga kesihatan HKL yang terus berkhidmat demi menjaga kebajikan dan nyawa rakyat.

Menurut beliau, pengorbanan petugas kesihatan yang bekerja dengan penuh sabar dan belas ihsan wajar dihargai semua pihak.

“Terima kasih kepada seluruh petugas kesihatan HKL yang terus berkhidmat dengan penuh sabar, belas ihsan dan pengorbanan yang besar demi menjaga nyawa serta kebajikan rakyat setiap hari,” katanya lagi.

Perkongsian tersebut turut mendapat perhatian ramai di media sosial yang memuji pendekatan Anwar turun padang menyantuni rakyat termasuk pesakit dan petugas kesihatan di hospital kerajaan.

BACA JUGABersatu ambil serius kenyataan Hadi, mula cetus tekanan dalam PN?