Anwar tegur industri, takkan nak selamanya bergantung pada buruh asing?

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi peringatan bahawa Malaysia tidak boleh terus bergantung kepada tenaga kerja asing murah jika mahu melonjak ke tahap ekonomi lebih tinggi dan bersaing dalam gelombang baharu pelaburan global.

Ketika bercakap pada Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 12 malam tadi, Anwar berkata model ekonomi yang terlalu bergantung kepada buruh asing kini sudah sampai ke tahap membimbangkan dan perlu diubah secara berperingkat.

“Apabila kita naik ke peringkat lebih tinggi, kita sedar bahawa kita tidak boleh hanya bergantung kepada buruh asing murah,” katanya.

Menurut Anwar, kerajaan kini memperluaskan kapasiti latihan melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), universiti serta kolej bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir tempatan.

Beliau berkata langkah itu penting bagi memastikan Malaysia mampu bergerak ke arah ekonomi bernilai tinggi tanpa terlalu bergantung kepada pekerja asing berupah rendah.

Kenyataan Anwar itu hadir sebagai respons kepada Pengerusi Eksekutif Top Glove Corporation Bhd, Tan Sri Lim Wee Chai yang membangkitkan isu kekurangan bakat dan kecekapan tenaga kerja dalam sektor industri.

Lim berkata industri pembuatan ketika ini memerlukan sokongan kerajaan, khususnya dari segi pembangunan bakat, kejuruteraan dan daya saing kos operasi.

“Bagaimana rakyat Malaysia boleh jadi lebih efisien? Termasuk kos utiliti seperti elektrik dan air. Kos buruh juga sangat penting dari segi kecekapan,” katanya.

Dalam masa sama, Anwar mendedahkan Malaysia kini menggajikan lebih dua juta pekerja asing angka yang menurutnya tidak boleh dianggap normal untuk jangka panjang.

“Ini perlu diberi perhatian dan kita perlu terima hakikat bahawa ia tidak boleh berterusan seperti ini,” katanya lagi.

Beliau bagaimanapun mengakui kerajaan perlu mencari titik seimbang antara keperluan industri untuk kekal kompetitif dan usaha mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing.

Justeru, katanya, kerajaan akan meneruskan sesi libat urus bersama pemain industri bagi merangka pendekatan lebih mampan tanpa menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara.

Isu kebergantungan kepada buruh asing sebelum ini sering menjadi perdebatan apabila banyak sektor utama termasuk pembuatan, pembinaan dan perladangan mendakwa sukar menarik pekerja tempatan kerana faktor gaji, suasana kerja dan produktiviti.

BACA JUGA Zeti : Malaysia ada keupayaan elak krisis lebih besar