Dakwa Sahabat Nabi berzina, bapa ceti itu cara berfikir yang salah – Mufti Perlis
Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menegaskan tuduhan terhadap para sahabat Nabi SAW seperti Saidina Umar al-Khattab sebagai kaki zina atau perampas isteri orang berpunca daripada cara berfikir yang salah serta tidak berasaskan disiplin ilmu Islam yang sebenar.
Menurut beliau, sejarah Islam tidak boleh dibina atas sangkaan, andaian atau persepsi semata-mata tanpa sandaran riwayat dan sumber yang sahih.
Katanya, dalam tradisi ilmu Islam, sesuatu cerita berkaitan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat perlu dinilai melalui disiplin sanad serta kajian terhadap perawi yang meriwayatkan sesuatu hadis atau sejarah.
“Kita tak boleh cerita benda yang lepas tanpa sandaran sanad. Ertinya kita mereka dan berbohong,” katanya dalam satu kuliah yang turut menyentuh isu salah faham terhadap masyarakat Arab zaman jahiliah.
Dr Asri menjelaskan bahawa sistem periwayatan dalam Islam sangat ketat sehingga latar belakang setiap perawi akan diteliti termasuk soal integriti, kekuatan ingatan dan sama ada mereka benar-benar pernah bertemu antara satu sama lain.
Beliau berkata pendekatan itu membezakan sejarah Islam daripada andaian sejarah biasa yang kadangkala hanya bergantung kepada tafsiran artifak atau kesan arkeologi tanpa riwayat yang jelas.
Mengulas dakwaan terhadap sahabat Nabi, beliau berkata terdapat pihak yang membuat gambaran seolah-olah tokoh Quraisy ketika zaman jahiliah hanyalah kumpulan penjahat tanpa nilai moral.
Menurutnya, tanggapan sedemikian tidak tepat kerana masyarakat Arab jahiliah juga mempunyai sistem sosial, nilai maruah, budaya menghormati tetamu serta tradisi membantu golongan tertindas.
“Jahiliah bukan maksudnya jahat semua. Jahiliah merujuk kepada kejahilan dalam tauhid dan syariat,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa tokoh besar Quraisy seperti Abu Bakar, Umar al-Khattab dan Abu Sufyan memiliki kedudukan dalam masyarakat kerana kewibawaan, kepimpinan dan pengaruh mereka, bukannya kerana akhlak buruk seperti yang didakwa sesetengah pihak.
Dr Asri berkata jika tokoh seperti Umar benar-benar terkenal sebagai kaki zina atau perampas isteri orang, mustahil masyarakat Quraisy ketika itu memilih beliau memainkan peranan penting dalam urusan maruah, rundingan dan konflik antara kabilah.
Beliau turut mengingatkan bahawa sejarah perlu dibaca secara ilmiah dan adil, bukannya berdasarkan kebencian atau naratif yang dibina tanpa disiplin ilmu.
Dalam kuliah sama, beliau turut memberi contoh satu perjanjian masyarakat Quraisy untuk membela golongan dizalimi yang turut dipuji Nabi Muhammad SAW walaupun berlaku sebelum kerasulan Baginda.
Menurut beliau, fakta tersebut menunjukkan masyarakat Arab sebelum Islam tidak boleh digambarkan secara hitam putih seolah-olah keseluruhan mereka tidak mempunyai nilai kemanusiaan.
Kenyataan Dr Asri itu hadir ketika media sosial semakin dipenuhi perdebatan berkaitan sejarah Islam dan tokoh-tokoh awal Islam yang kadangkala dibincangkan tanpa rujukan ilmiah yang tepat.
Beliau menegaskan bahawa perbahasan sejarah Islam memerlukan disiplin ilmu, amanah terhadap sumber dan kefahaman terhadap konteks masyarakat pada zaman tersebut supaya umat Islam tidak terjebak dengan fitnah serta penyelewengan fakta sejarah.
Untuk rekod, Setiausaha Dewan Ulama Pas, Datuk Nik Zawawi Salleh menjadi perhatian ramai selepas kandungan ceramahnya tular di media sosial apabila beliau mengulas kehidupan beberapa sahabat Rasulullah SAW sebelum mereka memeluk Islam.
Dalam ceramah itu, beliau didakwa menggambarkan Saidina Abu Bakar as-Siddiq sebagai “bapa ceti” kerana dikatakan gemar memberi pinjaman wang, manakala Saidina Umar al-Khattab pula disebut mempunyai sifat keras dan gemar berzina sebelum menerima hidayah Islam.
Kenyataan berkenaan mengundang kritikan pelbagai pihak termasuk dalam kalangan agamawan dan pengguna media sosial yang menyifatkan penyampaian tersebut tidak wajar serta boleh menimbulkan salah faham terhadap tokoh-tokoh besar Islam.
Pada peringkat awal, Nik Zawawi mempertahankan ucapannya dan menegaskan beliau tidak berniat menghina para sahabat Nabi. Malah, beliau turut menyatakan memaafkan pihak yang mengecam kenyataannya.
Bagaimanapun, selepas kontroversi itu terus hangat diperkatakan, beliau tampil membuat permohonan maaf secara terbuka serta menarik balik kenyataan berkenaan.
Isu tersebut sekali lagi mencetuskan perbincangan mengenai keperluan semua pihak, khususnya tokoh politik dan agamawan, supaya lebih berhati-hati ketika menyampaikan ceramah melibatkan sejarah Islam serta tokoh-tokoh yang dihormati umat Islam.