Saya tak sempurna, tapi amanah ini saya galas dengan seluruh jiwa – Anwar
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui dirinya bukan insan sempurna dan masih mempunyai kekurangan yang sentiasa dimuhasabah dari semasa ke semasa.
Namun menurut beliau, amanah memimpin negara tetap digalas sepenuh jiwa demi memastikan masa depan rakyat dan negara terus terbela.
Dalam satu hantaran di Facebook, Anwar berkata setiap keputusan dan langkah yang diambil adalah berasaskan tanggungjawab terhadap bangsa serta tanah air.
“Saya sedar tiada manusia yang sempurna, dan masih ada kekurangan yang sentiasa saya muhasabah.
“Namun amanah ini tetap saya galas dengan seluruh jiwa raga, kerana setiap langkah yang diambil adalah demi memastikan masa depan bangsa dan tanah air sentiasa terbela,” katanya.
Kenyataan itu dilihat sebagai refleksi peribadi Perdana Menteri ketika kerajaan MADANI terus berdepan pelbagai cabaran ekonomi, politik dan persepsi awam.
Perkongsian tersebut turut menerima pelbagai reaksi dalam kalangan netizen dengan penyokong menyifatkannya sebagai mesej penuh keinsafan dan tanggungjawab terhadap amanah rakyat.