Anwar optimis rundingan AS-Iran, Selat Hormuz dijangka dibuka semula

Perdana Menteri menyatakan keyakinan terhadap perkembangan positif rundingan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang dilihat semakin hampir ke arah satu perjanjian rangka kerja termasuk pembukaan semula Selat Hormuz.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau menerima petunjuk memberangsangkan daripada para pemimpin di Asia Barat bahawa proses rundingan itu sedang bergerak ke landasan positif.

“Saya melihat perkembangan ini dengan penuh harapan dan optimisme,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, Malaysia turut mengambil maklum peranan konstruktif dimainkan beberapa negara termasuk Bahrain, Mesir, Jordan, Oman, Pakistan, Qatar, Arab Saudi, Turkiye dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam memudah cara proses rundingan tersebut.

Beliau pada masa sama mengalu-alukan penglibatan peribadi Presiden AS, Donald Trump dalam usaha mencapai penyelesaian menerusi rundingan diplomatik.

“Kami berharap semua pihak akan merebut peluang ini dan meneruskan rundingan sehingga mencapai satu penyelesaian yang berjaya,” katanya lagi.

Anwar turut menyeru semua pihak supaya mencapai satu perjanjian rangka kerja yang inklusif bagi memperkukuh gencatan senjata sedia ada, menjamin laluan selamat melalui Selat Hormuz serta menangani kepentingan keselamatan sah semua negara di rantau berkenaan.

“Malaysia bersedia untuk menyokong sebarang usaha pelbagai hala yang mampu menyumbang kepada keamanan dan kestabilan berkekalan di Asia Barat,” kata Perdana Menteri lagi.

BACA JUGA Aishah Zain, muka baharu jadi taruhan AMANAH