‘Bimbang kalah pilihan raya?’, penyokong Pas berang konsert bercampur lelaki perempuan di Terengganu

Seorang penyokong tegar Pas meluahkan rasa kecewa dan marah terhadap kerajaan negeri Terengganu susulan penganjuran konsert yang mengisi satu program karnival makanan.

Individu dikenali sebagai Ustaz Jamal itu berang dengan konsert yang menyaksikan penonton lelaki dan wanita duduk bercampur.

Menerusi video tular di media sosial, beliau secara terbuka mempersoalkan imej pentadbiran Pas yang selama ini membawa slogan Islamik dan ‘Membangun Bersama Islam’.

Menurutnya, keadaan yang berlaku dalam program berkenaan langsung tidak mencerminkan identiti Islam yang sering diuar-uarkan kerajaan negeri.

“Terengganu tersohor dengan event. Baru-baru ini ada program makanan, dalam itu ada konsert.

“Kita tengok video konsert itu… nak kata Islamik, jauhlah. Nak kata ‘Membangun Bersama Islam’ itu, tak langsung. ‘Maju, Berkat, Sejahtera’ pun tiada,” tegasnya.

Beliau turut menyifatkan suasana konsert itu sebagai keterlaluan apabila penonton dilihat “terkinja-kinja”, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap pihak yang meluluskan program tersebut.

Dalam video sama, beliau turut membacakan beberapa potongan ayat al-Quran termasuk daripada Surah Luqman sambil menyindir pihak yang meluluskan konsert itu yang didakwanya gagal mengambil pengajaran.

“Bila orang tegur, (pihak kerajaan negeri) ‘konar’,” ujarnya lagi selain turut menyindir “bimbang pangkah jamban tahi”

Ustaz Jamal juga membandingkan situasi itu dengan kepimpinan khalifah Islam terdahulu yang menurutnya berani mempertahankan perkara benar walaupun berdepan risiko politik.

“Saya nak beritahu, Khalifah Umar memerintah dua tahun setengah saja, tapi nama dia harum sampai hari ini sebab dia berani buat perkara betul.

“Kita ni pula demi bimbang orang tak pilih untuk sepenggal lagi atau macam mana?” tempelaknya.

Beliau berkata, sebagai rakyat biasa beliau terpanggil untuk menegur kerajaan negeri kerana bimbang isu seperti itu semakin membarah demi mengejar populariti dan sokongan politik.

“Kalau perkara begini tak boleh nak atasi, macam mana? Ke bimbang kalau tak lulus program itu nanti hilang populariti?” peril Ustaz Jamal lagi.

BACA JUGA Anwar optimis rundingan AS-Iran, Selat Hormuz dijangka dibuka semula