Pas pilih bulu, Nik Zawawi patut dilucut jawatan dari Majlis Syura Ulama

Tindakan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang hanya memberikan “peringatan” kepada Ahli Parlimen Pasir Puteh, Nik Muhammad Zawawi Salleh sebagai sesuatu yang memalukan institusi ulama serta mencemarkan kesucian agama.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar berkata, kesilapan membawa naratif yang menghina dan memfitnah sahabat besar Nabi Muhammad SAW seperti Saidina Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali bukan isu kecil atau sekadar khilafiah, sebaliknya menyentuh asas akidah umat Islam.

“Alasan bahawa pelaku ‘terpengaruh dengan penulisan sejarah’ adalah satu pembelaan yang sangat lemah dan tidak munasabah bagi seorang tokoh yang memegang jawatan sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama.

“Sebagai badan tertinggi yang menapis dasar dan fatwa parti, rakyat berhak mempersoalkan: Bagaimanakah seorang yang gagal menapis kisah dongeng sejarah boleh diletakkan sebagai ketua pentadbir kepada institusi ulama?” bidasnya.

Menerusi kenyataan media hari ini, mantan Naib Presiden Pas berkenaan berpendapat sikap bertolak ansur Pas yang melampau dalam isu tersebut menunjukkan wujudnya amalan dwi-standard dalam kepimpinan parti itu.

“Parti yang sering mendakwa sebagai pembela agama ini dilihat memilih bulu; bersikap agresif apabila mengkritik pihak lawan.

“Namun, bertukar menjadi apologetik dan pelindung apabila kesalahan besar dilakukan oleh pemimpin kanan sendiri,” tegasnya bekas Ahli Parlimen Pokok Sena berkenaan.

Dilucutkan

Sehubungan itu, Mahfuz berkata, jika Pas benar-benar ikhlas memperjuangkan syiar Islam mengatasi kepentingan politik, Nik Zawawi sepatutnya direhatkan atau dilucutkan jawatan daripada Majlis Syura Ulama dengan segera.

“Tindakan sekadar memberi teguran lisan memberi isyarat salah bahawa maruah agama boleh dikompromi demi menjaga keharmonian politik dalaman dan imej luar Pas,” katanya.

Dalam masa sama, Mahfuz menuntut pihak polis serta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan menjalankan siasatan dan tindakan secara telus tanpa sebarang campur tangan atau perlindungan politik daripada mana-mana pihak.

“Tanpa sebarang pendakwaan akan menyebabkan golongan seperti ini merasakan mereka saja yang menjadi penentu kepada kesucian Islam,” tegas Mahfuz lagi.

BACA JUGA Pas memerintah negeri miskin – ada pengundi peduli?