Aduan rakyat tak lagi ‘masuk fail?, Ombudsman Malaysia bakal jadi semak imbang 

Cadangan penubuhan Ombudsman Malaysia disifatkan sebagai langkah penting dalam usaha memperkukuh sistem semak dan imbang kerajaan, khususnya dalam menangani aduan rakyat berkaitan salah laku, salah tadbir dan kelemahan penyampaian perkhidmatan awam.

Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Tan Sri Dr Ismail Bakar berkata, Ombudsman Malaysia bakal menjadi saluran utama rakyat untuk membuat aduan terhadap kelemahan sistem penyampaian kerajaan secara lebih tersusun dan berkesan.

Menurut beliau, langkah itu juga dilihat mampu mentransformasikan mutu perkhidmatan awam supaya lebih cekap, responsif dan mesra rakyat.

“Insya-Allah pada tahun depan, Ombudsman Malaysia akan mula beroperasi setelah diluluskan di Parlimen. Sekarang ini, masih dalam peringkat pembuatan rang undang-undang.

“Ini merupakan satu langkah yang baik untuk mentransformasikan perkhidmatan awam, khususnya cara kita memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Apresiasi Encouraging, Responsibility, Accountability, Trustworthiness (ERAT).

Sebelum ini media melaporkan Ombudsman Malaysia yang dicadangkan dijangka berfungsi sebagai mekanisme utama untuk memperkukuh perlindungan pemberi maklumat termasuk mencegah kebocoran identiti pengadu.

Ia dijangka dilaksanakan menerusi sistem pengurusan aduan berpusat di bawah satu agensi khusus.

Dalam ucapan alu-aluannya, Ismail berkata EAIC menyambut baik keputusan kerajaan untuk menubuhkan Ombudsman Malaysia bagi mengurus aduan melibatkan seluruh agensi awam.

Katanya, langkah itu diyakini mampu meningkatkan kecekapan penyampaian kerajaan selain memperkukuh keyakinan rakyat terhadap institusi awam.

Penubuhan Ombudsman Malaysia diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi persetujuan Jawatankuasa Khas Kabinet Tata Kelola Nasional pada Disember tahun lalu.

Menurut Ismail, EAIC berharap Ombudsman Malaysia dapat berfungsi lebih efektif berbanding agensi pemantau sedia ada supaya setiap peruntukan kerajaan benar-benar memberi impak kepada rakyat.

“EAIC menyambut baik keputusan ini dan berharap Ombudsman Malaysia kelak akan berfungsi dengan lebih efektif daripada agensi-agensi pemantau yang sedia ada.

“Sekali gus membuktikan setiap ringgit yang diperuntukkan oleh kerajaan benar-benar membawa perubahan yang nyata,” katanya.

Beliau berkata pengalaman dan kepakaran yang dibina EAIC sejak 2011 dalam menyelia agensi penguatkuasaan akan menjadi asas penting untuk mendepani skop semak dan imbang yang lebih luas menerusi Ombudsman Malaysia.

“Walau apa pun jua wadah atau jenamanya selepas ini, komitmen dan prinsip kerja kita tidak akan pernah berubah, iaitu untuk terus memastikan sistem penyampaian agensi kita kekal bersih, telus dan sentiasa mendapat kepercayaan penuh rakyat,” katanya.

Majlis apresiasi ERAT kali ini menyaksikan 21 agensi penguatkuasaan di bawah seliaan EAIC serta 13 pengamal media menerima pengiktirafan atas peranan dan kerjasama mereka bersama suruhanjaya itu.

BACA JUGA Tular warga emas berpanas beratur panjang untuk ambil BKJ?