Tular warga emas berpanas beratur panjang untuk ambil BKJ?
Satu video yang tular di media sosial dipercayai dirakam di Pontian, Johor mengundang pelbagai reaksi apabila memaparkan orang ramai, kebanyakannya warga emas, beratur panjang di tepi jalan raya bagi mendapatkan Bantuan Kasih Johor (BKJ).
Rakaman berdurasi kira-kira 16 saat itu menunjukkan puluhan penerima berdiri dalam cuaca panas di kawasan pinggir jalan sambil menunggu giliran untuk menerima bantuan berkenaan.
Malah kapsyen pada video tersebut turut menyebut: “Warga emas beratur panjang ambil BKJ di Pontian.”
Situasi itu mengundang kritikan ramai pihak yang mempersoalkan kaedah pengagihan bantuan secara fizikal yang dianggap tidak lagi sesuai, khususnya melibatkan golongan warga emas dan berisiko dari aspek keselamatan serta kesihatan.
Beberapa pihak turut menyifatkan keadaan tersebut sebagai bukti kelemahan pengurusan kerajaan negeri dalam memastikan bantuan rakyat diagihkan secara lebih tersusun dan bermaruah.
Menteri Besar Johor, Datuk Seri Onn Hafiz Ghazi turut menjadi sasaran kritikan apabila ada yang mendakwa pentadbiran negeri gagal memahami kesusahan yang terpaksa ditanggung penerima bantuan.
Pengkritik mendakwa kerajaan negeri sepatutnya menggunakan kaedah lebih moden seperti pemindahan terus ke akaun bank penerima berbanding memanggil warga emas hadir beramai-ramai ke lokasi tertentu.
Mereka juga mempersoalkan mengapa penerima terpaksa beratur panjang di bawah cuaca panas hanya untuk menerima bantuan tunai bernilai RM200.
Isu itu turut menghidupkan kembali perbahasan mengenai keutamaan kerajaan negeri dalam pelaksanaan program kebajikan, dengan sebahagian pihak mendakwa acara pengagihan lebih tertumpu kepada publisiti berbanding keselesaan rakyat.
Terdahulu, Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Omar Ali turut menggesa agar sistem BKJ ditambah baik dan tidak dijadikan sekadar program “asal agih” atau “asal ada gambar”.
Beliau berkata bantuan rakyat sepatutnya memudahkan penerima, bukannya menambah kesulitan terutama kepada warga emas yang mempunyai masalah kesihatan dan pergerakan.
BACA JUGA Aishah Zain ajak wanita muda sertai Wanita Muda AMANAH