Ini sebenarnya klasifikasi kes Nur Izzati

Kes kematian Nur Izzati Humaira Azizul, 19, yang sebelum ini hilang semasa turun dari pendakian bersama keluarganya di Bukit Changkat Asa, Hulu Bernam diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Asisten Komisioner Ibrahim Husin berkata, jasad remaja itu dijumpai kira-kira satu kilometer dari Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) pada jam 11.58 pagi ini.

“Pada jam 1.08 tengah hari, mayat mangsa berjaya dibawa keluar dari kawasan kejadian.

“Siasatan diklasifikasi sebagai SDR dan mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, dalam kejadian pada 23 Mei lalu lalu, polis menerima maklumat dari Balai Bomba Tanjong Malim pada jam 2.30 petang memaklumkan kehilangan Nur Izzati.

Jelasnya, aktiviti pendakian bermula jam 8.40 pagi, Sabtu bersama enam ahli keluarga sebelum semua pendaki berhenti rehat semasa perjalanan turun pada jam 10.50 pagi.

Mangsa kemudian meminta kunci kereta dan beg galas daripada ibunya kerana mahu turun terlebih dahulu dan berehat di dalam kereta atas alasan tidak tahan panas dan penat.

“Kira-kira jam 11.35 pagi, apabila ibu mangsa sampai di kereta, dapati mangsa tiada dan disyaki hilang semasa dalam perjalanan turun seorang diri,” katanya.

Pencarian Nur Izzati selama empat hari itu membabitkan 114 kekuatan daripada pelbagai agensi.

Antaranya, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), malim gunung, pihak berkuasa tempatan serta sukarelawan.

Jasad Nur Izzati yang dijumpai di kawasan kebun kira-kira 500 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang itu kemudian dihantar ke Hospital Sungai Buloh petang tadi bagi urusan lanjut.

Difahamkan, jenazah mangsa akan dibawa pulang ke kampung halaman di Felda Trolak Utara, Sungkai, Perak untuk urusan pengebumian selepas selesai proses berkaitan.

BACA JUGA Pas nafi tidak datang menghadap Raja Perlis, tiada titah menghadap