Pas nafi tidak datang menghadap Raja Perlis, tiada titah menghadap
Pas menafikan dakwaan kononnya Presiden parti itu sengaja tidak datang menghadap Raja Perlis ketika berlaku kemelut pelantikan Menteri Besar Perlis pada tahun lalu.
Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, dakwaan tersebut yang dibangkitkan menerusi kenyataan Biro Politik Bersatu Pusat adalah tidak benar serta tidak berasas sama sekali.
“Untuk rekod, tidak pernah Presiden Pas dititah untuk menghadap pada 25 Oktober 2025, mahupun pada mana-mana tarikh sebelum atau selepas kemelut Menteri Besar Perlis berlaku,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menyifatkan kenyataan Bersatu terhadap Setiausaha Agung Pas sebagai tidak tepat, mengelirukan dan mempunyai niat serong untuk mencemarkan kredibiliti parti itu.
Menurut Ahmad Fadhli, tuduhan bahawa Pas tidak memberikan sebarang maklum balas sepanjang krisis berlaku juga merupakan fitnah yang tidak berasas.
Katanya, Pas masih menyimpan rekod komunikasi terperinci antara Setiausaha Agung Pas dan Setiausaha Agung Bersatu serta bersedia mendedahkannya di platform yang lebih sesuai.
Ahmad Fadhli berkata, hakikat yang tidak disebut ialah mesej daripada Setiausaha Agung Bersatu kepada Setiausaha Agung Pas pada 5 Mei 2026 hanya memaklumkan keputusan mesyuarat tergempar Biro Politik Bersatu Pusat yang mengubah pendirian berkaitan krisis di Negeri Sembilan.
Tegas Ahli Parlimen Pasir Mas berkenaan, tindakan tersebut bercanggah dengan pendirian Perikatan Nasional (PN) yang telah dipersetujui bersama sebelum ini.
Selain itu, Ahmad Fadhli turut mendakwa Bersatu menghantar nama calon Menteri Besar Perlis tanpa merujuk kepada Majlis Tertinggi PN.
“Usahlah kegagalan mengurus organisasi akhirnya cuba dipindahkan kepada pihak lain demi menutup kelemahan sendiri,” katanya lagi.
BACA JUGA Di sebalik agihan 260 ekor lembu korban MADANI, PM Anwar titip pesanan tentang perpaduan umat