Institusi Undang rosak kerana Umno, dakwa SUA MB N9
Setiausaha Akhbar Menteri Besar Negeri Sembilan, Ahmad Shahir Mohd Shah mendakwa institusi Undang di Negeri Sembilan sedang “dirosakkan” oleh permainan politik pihak tertentu dalam Umno sendiri.
Bercakap dalam satu program Podcast ataspagar.my, Shahir berkongsi perkara ini berdasarkan isu yang turut didakwa oleh aktivis politik Bersatu, Badrul Hisham Shaharin atau Che’gubard.
Dalam pendedahan itu, Shahir memberi contoh ketika mengulas kontroversi membabitkan dakwaan kononnya Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menggadaikan tanah rizab Melayu seluas 50 ekar kepada pihak tertentu, termasuk dakwaan mengaitkan institusi Diraja Melayu (DIP) dan Undang.
Menurut Ahmad Shahir, dakwaan tersebut sebenarnya berpunca daripada maklumat tidak tepat yang sengaja disebarkan sehingga mencetuskan persepsi berlaku ketegangan antara Undang dan Menteri Besar.
“Kita tahu siapa yang bagi maklumat itu. Surat itu pun kita tahu datang daripada siapa,” katanya.
Beliau mendakwa tindakan mempolitikkan institusi Undang demi kepentingan tertentu akhirnya memberi kesan buruk kepada imej Umno sendiri.
“Isu-isu Undang ini rosakkan Umno,” katanya yang menjelaskan beliau bukan bermaksud semua yang ada dalam Umno.
Dalam masa sama, Ahmad Shahir turut mengkritik cara sidang media melibatkan Datuk-Datuk Undang diuruskan sehingga disifatkan tidak menghormati kedudukan institusi adat tersebut.
Menurut beliau, susunan sidang media berkenaan dilihat terlalu tidak teratur dan gagal mematuhi asas protokol yang sewajarnya diberikan kepada institusi Undang sebagai co-ruler di Negeri Sembilan.
Katanya, layanan terhadap Datuk-Datuk Undang ketika sidang media itu menimbulkan persepsi buruk dalam kalangan masyarakat termasuk pihak luar.
Beliau berkata, sebagai individu yang biasa mengendalikan urusan protokol kerajaan negeri, beliau hairan bagaimana sidang media melibatkan institusi sebesar itu boleh diurus secara sambil lewa.
Menurutnya, penggunaan kerusi dewan biasa dan susunan pentas yang tidak sesuai mencerminkan kegagalan pihak pengurusan memahami kedudukan institusi adat Negeri Sembilan.
“Kalau Menteri Besar punya sidang media dibuat proper, takkan Datuk Undang dilayan macam itu?” katanya lagi.
Ahmad Shahir turut mendakwa terdapat pihak tertentu yang hanya menggunakan institusi Undang demi kepentingan politik sendiri tanpa benar-benar menghormati institusi tersebut.
Katanya, Negeri Sembilan mempunyai kedudukan unik dalam sistem Raja Berperlembagaan negara sehingga Yang di-Pertuan Besar sendiri dipilih melalui sistem Undang.
Krisis politik Negeri Sembilan tercetus selepas Undang Luak menggunakan kuasa untuk menyingkirkan Tuanku Muhriz ketika Undang Sungei Ujong, Mubarak Dohak pula didakwa sudah dipecat.
Belum reda isu membabitkan institusi adat di negeri itu, kesemua 14 ADUN Umno/BN menarik sokongan terhadap Menteri Besar.
Mereka beralasan Aminuddin gagal menyelesaikan kemelut membabitkan Yang di-Pertuan Besar, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Seri Menanti.
Walaupun hilang sokongan BN dalam DUN, Aminuddin dititah oleh Tuanku Muhriz meneruskan tugas mentadbir negeri sebagai Menteri Besar demi kepentingan rakyat sehingga kejelasan isu tercetus itu diselesaikan.
BACA JUGA Selepas Shah Alam, Pemuda Pas mahu Gombak, ini jawapan Azmin