Selepas Shah Alam, Pemuda Pas mahu Gombak, ini jawapan Azmin

Desakan Pemuda Pas Gombak supaya parti itu diberi peluang bertanding di kerusi Parlimen Gombak pada PRU16 dilihat mula menghangatkan perebutan dalaman Perikatan Nasional (PN) di Selangor.

Ia berlaku ketika Pengerusi Bersatu Selangor, Datuk Seri Azmin Ali memberi bayangan bahawa beliau dan jentera Bersatu sudah mula bersiap mempertahankan kawasan berkenaan.

Menerusi laporan portal rasmi Pas, Dewan Pemuda Pas Kawasan Gombak dilaporkan menuntut agar calon daripada Pas diberikan peluang bertanding di kerusi Parlimen Gombak serta keseluruhan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah kawasan itu pada PRU16.

Tuntutan itu sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai kemungkinan berlaku perebutan kerusi antara Pas dan Bersatu dalam PN, khususnya di Selangor.

Bagaimanapun, tidak lama selepas laporan itu tular, Azmin memuat naik hantaran di Facebook memaklumkan beliau baru sahaja mempengerusikan Mesyuarat AJK Bersatu Bahagian Gombak.

Menurut beliau, persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum sudah menjadi agenda utama parti di kawasan tersebut.

“Petang semalam saya mempengerusikan Mesyuarat AJK Bersatu Bahagian Gombak. Persiapan Pilihan Raya Umum menjadi agenda utama. Gombak sudah bersedia!” katanya.

Walaupun Azmin tidak menyebut secara langsung mengenai tuntutan Pas, hantaran tersebut dilihat sebagai isyarat bahawa Bersatu masih menganggap Gombak sebagai kerusi mereka.

Sebelum ini, isu agihan kerusi PN di Selangor turut menjadi perhatian selepas timbul gesaan daripada akar umbi Pas supaya parti itu diberi lebih banyak kerusi untuk ditandingi pada PRU16 termasuk di Shah Alam.

Gombak sendiri mempunyai nilai simbolik besar dalam politik negara kerana pernah menjadi kubu kuat Azmin Ali sebelum beliau tewas kepada Datuk Seri Amirudin Shari pada PRU15.

Amirudin memperoleh 72,267 undi dengan majoriti 12,729 undi, manakala Azmin meraih 59,538 undi.

Kekalahan itu dianggap tamparan besar kepada Azmin memandangkan Gombak sebelum ini dilihat sebagai kubu kuat politik beliau sejak PRU12.

Bagaimanapun, pengaruh Bersatu di kawasan Gombak masih belum hilang sepenuhnya apabila PN berjaya mengekalkan beberapa kerusi DUN di kawasan tersebut pada Pilihan Raya Negeri Selangor 2023.

Azmin sendiri memenangi DUN Hulu Kelang atas tiket Bersatu, manakala sekutunya Muhammad Hilman Idham turut mempertahankan DUN Gombak Setia untuk PN.

Situasi itu menjadikan tuntutan Pas untuk mengambil alih Gombak dilihat semakin sensitif kerana ia melibatkan kawasan yang masih mempunyai pengaruh kuat Bersatu serta dikaitkan secara langsung dengan masa depan politik Azmin di Selangor.

BACA JUGA Bil melambung, gagal urus air, rakyat Terengganu ‘hujani’ kemarahan di media sosial