Malaysia masih jadi rebutan pelabur : MIDA fokus semikonduktor, E&E
Malaysia terus memperkukuh kedudukannya sebagai hab pelaburan strategik serantau apabila sektor Electrical & Electronics (E&E) serta semikonduktor diberi fokus utama dalam pembangunan ekosistem pelaburan negara.
Pengerusi Malaysian Investment Development Authority (MIDA), Tengku Zafrul Aziz berkata, perkara itu antara perkembangan utama yang dibentangkan dalam mesyuarat kedua Lembaga Pengarah MIDA bagi tahun 2026 hari ini.
Menurut beliau, perkembangan tersebut memberi keyakinan bahawa asas ekonomi dan pelaburan negara masih berada pada landasan yang kukuh walaupun dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik serta tekanan ekonomi global.
“Fokus pembangunan ekosistem pelaburan terus diperkukuh dengan sektor Electrical & Electronics (E&E) dipilih sebagai sektor perintis termasuk pembangunan sektor semikonduktor, tenaga boleh baharu dan peranti perubatan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Dalam masa sama, beliau berkata MIDA turut membincangkan langkah intervensi bagi membantu syarikat dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terkesan akibat peningkatan kos logistik serta gangguan rantaian bekalan global susulan krisis Timur Tengah.
Katanya, cabaran geopolitik semasa memerlukan kerajaan bertindak lebih proaktif bagi memastikan sektor industri tempatan terus kekal berdaya tahan.
Selain aspek pelaburan, Tengku Zafrul berkata usaha memperkukuh tadbir urus, integriti dan prosedur operasi standard (SOP) dalaman MIDA turut diberi perhatian bagi memastikan keyakinan pelabur antarabangsa terus terpelihara.
“Usaha memperkukuh tadbir urus, integriti dan SOP dalaman MIDA terus diberi keutamaan bagi memastikan organisasi kekal cekap, telus dan diyakini pelabur,” katanya.
Beliau menegaskan Malaysia perlu terus bekerja keras untuk memastikan negara kekal sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif dan dipercayai di tengah-tengah cabaran ekonomi dunia yang semakin mencabar.
“Insya-Allah, kita akan terus bekerja keras memastikan Malaysia kekal destinasi pelaburan yang kompetitif, dipercayai dan bersedia menghadapi cabaran ekonomi global,” katanya.
BACA JUGA BDR jimat RM4.2 juta petrol – KSN