Dasar Baharu Fed AS, pertunjuk gagal urus krisis fiskal
Dasar baharu “reserve management” oleh Federal Reserve System dilihat sebagai petanda bahawa pilihan dasar ekonomi Amerika Syarikat semakin terhad ketika negara itu cuba melindungi diri daripada ancaman stagflasi global(ekonomi lembab tetapi harga barang tetap mahal dan terus meningkat) yang semakin memburuk akibat dasar Presiden Donald Trump.
Ahli ekonomi Jomo Kwame Sundaram dan Nurina Malek berkata langkah Fed itu menunjukkan Washington semakin kehabisan ruang untuk mengurus krisis fiskal dan hutang yang semakin membengkak.
Menurut mereka, hutang awam AS kini mencecah AS$39 trilion dengan kos servis tahunan melebihi AS$1 trilion lebih besar daripada perbelanjaan pertahanan negara itu pada 2025.
Malah, kerugian keseluruhan Fed sejak 2022 dilaporkan melebihi AS$245 bilion, sebahagiannya berpunca daripada pembayaran kadar faedah lebih empat peratus kepada bank-bank simpanan, sedangkan bon Perbendaharaan AS yang dibeli semasa krisis Covid-19 hanya memberi pulangan sekitar satu hingga dua peratus.
Penulis turut menyifatkan amalan itu sebagai “creative accounting” yang secara teknikal menggambarkan AS berada dalam keadaan hampir muflis, walaupun naratif pasaran kewangan global masih berjaya mengekalkan keyakinan terhadap dolar AS.
Pada Disember 2025, Pengerusi Fed ketika itu, Jerome Powell mengumumkan pembelian bon Perbendaharaan AS bernilai AS$40 bilion setiap bulan sebagai sebahagian daripada pendekatan baharu penciptaan wang untuk membiayai hutang kerajaan.
Menurut tulisan itu, langkah berkenaan berlaku selepas lebih sedekad dasar “quantitative easing” (QE) digunakan untuk menyuntik kecairan ke dalam sistem kewangan global.
Pada masa sama, semakin banyak bank pusat dunia mula mempelbagaikan aset rizab mereka kerana bimbang terhadap penggunaan dolar AS sebagai alat geopolitik Barat, termasuk tindakan membekukan kira-kira AS$300 bilion aset Rusia.
Akibatnya, bank-bank pusat bukan AS dilaporkan membeli lebih 1,000 tan emas setiap tahun sejak tiga tahun lalu sebagai usaha mengurangkan pergantungan kepada dolar.
Tulisan itu turut menyentuh dilema bakal pengerusi Fed baharu, Kevin Warsh, yang mahu menurunkan kadar faedah sambil mengecilkan kunci kira-kira Fed sesuatu yang dianggap sukar dilaksanakan serentak dalam keadaan ekonomi AS sekarang.
Menurut penulis, lebih AS$10 trilion bon kerajaan AS akan matang dalam tempoh setahun dan perlu dibiayai semula ketika defisit fiskal terus meningkat.
Mereka turut memberi amaran bahawa kejutan harga minyak akibat ketegangan di Selat Hormuz boleh mempercepatkan tekanan stagflasi global, iaitu keadaan inflasi tinggi berlaku serentak dengan pertumbuhan ekonomi yang perlahan.
Menurut mereka lagi, kenaikan kadar faedah bagi mengekang inflasi boleh memburukkan keadaan kerana ia meningkatkan kos pinjaman, melemahkan pelaburan dan menambah beban hutang kerajaan AS sendiri.
“Dasar reserve management Fed bukan lagi sekadar perubahan teknikal kecil dalam pengurusan kunci kira-kira, tetapi cubaan menangani kewangan awam AS yang semakin meruncing ketika pilihan dasar semakin sempit,” kata mereka.
BACA JUGA Bukan sekadar cakap, MADANI aktif buka laluan pembiayaan untuk PMKS