Kenyataan bukan main panjang tetapi tak mahu buat terus ke akaun bank

Walaupun kerajaan Johor mengumumkan pelbagai langkah penambahbaikan bagi agihan Bantuan Kasih Johor (BKJ) Fasa Keempat, ramai rakyat masih mempersoalkan satu perkara utama  mengapa bantuan itu masih tidak disalurkan terus ke akaun bank penerima.

Isu itu kembali hangat selepas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Onn Hafiz Ghazi mengumumkan beberapa penambahbaikan termasuk pertambahan kaunter, tempoh operasi lebih panjang dan lanjutan tempoh penyerahan bantuan sehingga 28 Jun 2026.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat selepas Mesyuarat Penyelarasan BKJ Fasa Keempat bagi memperkemas proses agihan terutama melibatkan jumlah penerima yang besar seperti warga emas dan suri rumah.

Namun dalam kenyataan sama, beliau turut mengakui majoriti penerima sebenarnya mahu bantuan disalurkan terus ke akaun bank kerana ia dianggap lebih mudah dan selamat.

Antara rungutan yang dikenal pasti termasuk isu beratur panjang, kesesakan di lokasi sempit, kesukaran parkir, peningkatan trafik serta kos pengangkutan bagi penerima yang kurang berkemampuan.

Susulan itu, kerajaan negeri mengumumkan beberapa langkah baharu termasuk menambah jumlah kaunter mengikut kapasiti penerima.

Bagi lokasi melibatkan lebih 3,000 penerima, sekurang-kurangnya 35 kaunter semakan dan 35 kaunter bayaran akan disediakan.

Manakala lokasi melibatkan 2,000 penerima ke bawah akan mempunyai sekurang-kurangnya 10 kaunter semakan dan bayaran.

Tempoh operasi di beberapa lokasi khususnya Johor Bahru turut dipanjangkan sehingga 12 jam bagi mengurangkan kesesakan.

Kerajaan negeri juga memaklumkan ruang menunggu lebih selesa akan disediakan, selain hanya memerlukan kad pengenalan untuk semakan sebelum pembayaran dibuat.

Waris terdekat turut dibenarkan mengambil bantuan bagi pihak penerima yang tidak mampu hadir, manakala pasukan Southern Volunteers akan digerakkan membantu warga emas dan OKU.

Bagaimanapun, sejurus diumumkan, di media sosial ramai masih mempersoalkan kenapa sistem pembayaran fizikal masih diteruskan sedangkan kebanyakan bantuan kerajaan Persekutuan kini menggunakan pindahan terus ke akaun bank.

Seorang pengguna Facebook, Esdjuna Sudzhailie,mempersoal mengapa BKJ tak mahu terus disalur ke akaun bank.

Ada juga yang mencadangkan kerajaan Johor menggunakan sistem sedia ada seperti bantuan SARA kendalian kerajaan pusat kerana kebanyakan data penerima sudah tersedia.

“Gunakan akaun bank penerima, alasan wakil rakyat nak beramah mesra tidak lagi relevan kerana rakyat yang perlu berjumpa mereka, sedangkan mereka yang berkhidmat untuk rakyat,” katanya.

Pengguna itu juga meminta sistem pemberitahuan dan dokumentasi diperkemas supaya pejabat pengurusan tidak kelam-kabut, selain mencadangkan ketua kampung turun padang mencari maklumat rakyat dan bukannya rakyat perlu datang merayu bantuan.

Dalam tinjauan singkat di media sosial, ramai rakyat Johor melahirkan rasa tidak puas hati kerana rata-rata daripada mereka mengharapkan bantuan BKJ ini disalur terus ke akaun penerima.

Menurut mereka, walaupun kaunter di tambah, penerima masih perlu beratur panjang lebih teruk dalam keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini. 

BACA JUGA Kondo mewah RM28 juta guna duit 1MDB dirampas AS