AMANAH Johor sindir Onn isu BKJ, pemimpin muda tetapi pemikiran tua

Tindakan kerajaan Johor menambah kaunter dan memanjangkan tempoh operasi bagi agihan Bantuan Kasih Johor (BKJ) tidak menyelesaikan masalah sebenar, sebaliknya membuktikan sistem yang digunakan sudah ketinggalan zaman.

Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor, Taqiuddin Cheman berkata semua langkah penambahbaikan yang diumumkan kerajaan negeri sebenarnya tidak perlu jika bantuan disalurkan terus melalui akaun bank, MyKad atau platform e-dompet.

Menurut beliau, kerajaan negeri sepatutnya memanfaatkan teknologi digital yang sudah digunakan secara meluas dalam pelbagai program bantuan kerajaan Persekutuan.

“Saya melihat kesemua langkah tersebut sebenarnya adalah tindakan yang tidak perlu sekiranya kaedah yang lebih sistematik dan saluran digital menerusi akaun bank, MyKad atau e-wallet digunakan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas pengumuman Menteri Besar Johor, Datuk Seri Onn Hafiz Ghazi berhubung beberapa langkah penambahbaikan proses penyerahan BKJ susulan rungutan rakyat mengenai kesesakan dan tempoh menunggu yang panjang.

Taqiuddin berkata selepas hampir tujuh dekad kemerdekaan, kaedah penyampaian bantuan melalui kaunter fizikal masih digunakan walaupun pelbagai teknologi moden tersedia.

“Setelah 69 tahun merdeka, mereka masih menggunakan sistem kaunter.

“Untuk atasi kesesakan dan masa menunggu serta ketidakaturan lain, kerajaan hanya mampu memanjangkan tempoh operasi, meluaskan ruang menunggu, menambah kaunter semakan manual dan mengerah petugas tambahan, tetapi tetap menguruskan proses pemberian bantuan seperti tahun-tahun 70-an,” katanya.

Menurut beliau, lebih menghairankan apabila kerajaan sendiri mengakui sistem sedia ada menimbulkan pelbagai kesulitan kepada rakyat tetapi masih enggan beralih kepada kaedah yang lebih mudah.

Beliau turut mempersoalkan alasan bahawa bantuan perlu disampaikan secara bersemuka bagi membolehkan pemimpin bertemu rakyat.

“Hakikatnya, rakyatlah yang dikerah untuk beratur, menunggu dan mendengar ucapan pemimpin.

“Rakyatlah yang sebenarnya terpaksa hadir bertemu pemimpin tetapi berselindung dengan program penyampaian bantuan. Bukan pemimpin yang bertemu rakyat,” katanya.

Taqiuddin turut meminta kerajaan negeri menjelaskan sama ada terdapat sebarang halangan undang-undang atau prosedur kewangan yang menghalang pembayaran dibuat secara digital.

Katanya, sekiranya penerima diberikan pilihan antara menerima bantuan secara tunai atau melalui akaun bank, majoriti besar rakyat pasti memilih kaedah pindahan terus.

“Sekiranya pilihan diberikan kepada rakyat untuk menerima bantuan tersebut secara tunai atau menerusi akaun penerima, saya yakin lebih 95 peratus akan memilih untuk menerima melalui akaun bank,” katanya.

Beliau juga berkata persepsi bahawa program bantuan tersebut mempunyai unsur kempen politik sukar dielakkan apabila terdapat ucapan yang menjurus kepada politik dalam beberapa majlis penyerahan bantuan.

Menurutnya, keadaan itu menimbulkan persoalan sama ada pemimpin muda benar-benar membawa pendekatan baharu atau masih terikat dengan cara pemikiran lama dalam pengurusan bantuan rakyat.

“Kadang-kala rakyat tertanya-tanya, apakah benar pemimpin muda mempunyai mentaliti yang lebih ke depan dan berwawasan atau sebenarnya masih kekal pemikiran tua apabila hal semudah pemberian bantuan pun masih menggunakan kaedah lama,” katanya.

BACA JUGA RENCANA | Perangkap Pas : Memecahkan kesatuan demi kelangsungan kuasa