RENCANA | Perangkap Pas : Memecahkan kesatuan demi kelangsungan kuasa
DR SHAHNOR BASRI
Dalam politik, musuh paling berbahaya bukanlah pihak yang menyerang secara terbuka, tetapi pihak yang menanam curiga, melaga-lagakan rakan sekutu, dan memecahkan kesatuan dari dalam.
Hari ini, pola itu semakin jelas dalam percaturan Parti Islam Se-Malaysia atau Parti Islam Se-Malaysia. Pas bukan sekadar mahu menumbangkan kerajaan perpaduan, tetapi sedang mengatur strategi lebih besar memastikan hubungan antara Pakatan Harapan dan Barisan Nasional terus retak, saling mencurigai, dan akhirnya bertembung sesama sendiri menjelang pilihan raya akan datang.
Pas memahami satu hakikat besar yang tidak mahu diakui oleh ramai penyokong pembangkang: gabungan antara Pakatan Harapan dan Barisan Nasional telah berjaya menstabilkan negara selepas tempoh politik paling kacau sejak merdeka.
Dalam keadaan ekonomi dunia yang bergelora akibat perang Ukraine-Rusia, ketegangan Asia Barat, krisis rantaian bekalan global dan ketidaktentuan geopolitik Amerika-China, Malaysia masih mampu mengekalkan kestabilan politik, pertumbuhan pelaburan, pengukuhan ringgit secara berperingkat, dan keyakinan pelabur antarabangsa.
Inilah ancaman sebenar kepada Pas.
Jika kerajaan perpaduan terus stabil sehingga pilihan raya umum akan datang, maka naratif “kerajaan gagal” yang selama ini dimainkan Pas akan runtuh dengan sendirinya.
Pas sedar bahawa rakyat akhirnya akan menilai berdasarkan prestasi ekonomi, peluang pekerjaan, kestabilan pelaburan, dan keamanan sosial bukan semata-mata retorik agama atau politik kebencian.
Sebab itu Pas kini sedang memainkan permainan yang lebih halus dan licik: memerangkap PH dan Umno supaya saling berbalah, mempertikai kerusi sesama sendiri, mempertikai dominasi masing-masing, dan akhirnya memilih untuk bertanding solo.
Pas mahu memastikan hubungan yang dibina dengan penuh susah payah selepas PRU15 hancur sebelum sempat matang sebagai satu budaya politik baharu.
Lebih berbahaya, beberapa pimpinan dalam PH dan Umno kelihatan mula termakan umpan ini. Kenyataan terbuka yang mempertikai kerjasama sesama komponen, serangan emosi terhadap rakan gabungan, serta perlumbaan menjadi “lebih Melayu” atau “lebih reformis” hanya menguntungkan Pas. Dalam politik, apabila sekutu mula bercakap seperti musuh, pihak lawan tidak perlu lagi bekerja keras.
Pas tahu mereka tidak semestinya perlu menang besar untuk berkuasa. Cukup sekadar memastikan PH dan BN berpecah, maka pertandingan pelbagai penjuru akan membuka ruang kemenangan kepada mereka. Strategi ini pernah digunakan berkali-kali dalam sejarah politik negara.
Namun percaturan Pas hari ini lebih kompleks daripada sekadar mahu memecahkan kerajaan perpaduan. Pas juga sedang berusaha menyusun semula dominasi dalam Perikatan Nasional sendiri.
Ramai pemerhati politik melihat wujud usaha tersusun untuk mengurangkan pengaruh Muhyiddin Yassin dan kem beliau dalam PN. Hakikat bahawa Pas kini jauh lebih dominan dari segi kerusi dan pengaruh menyebabkan parti itu tidak lagi mahu bergantung sepenuhnya kepada kepimpinan Bersatu.
Di sinilah muncul percaturan baharu melibatkan kem Hamzah Zainudin. Pas dilihat lebih selesa dengan pendekatan politik yang lebih keras, tersusun dan pragmatik yang dibawa Hamzah berbanding beban politik yang sedang ditanggung Muhyiddin.
Jika Pas berjaya memastikan PN bergerak tanpa dominasi kem Muhyiddin sebelum pilihan raya akan datang, maka Pas secara praktikal akan menjadi kuasa mutlak dalam blok pembangkang Melayu-Islam.
Pas dominasi Bersatu
Ironinya, dalam masa Pas sedang menyusun dominasi terhadap Bersatu, mereka juga berjaya menanam persepsi kononnya PH dan Umno tidak lagi memerlukan antara satu sama lain. Ini perangkap psikologi politik yang amat berbahaya.
Hakikatnya, tanpa kerjasama PH-BN selepas PRU15, Malaysia mungkin masih terperangkap dalam kitaran pertukaran kerajaan, perebutan kuasa, dan ketidakstabilan seperti era pasca Langkah Sheraton.
Pasaran kewangan tidak suka ketidakstabilan. Pelabur asing lebih takut kepada politik yang tidak menentu berbanding kadar cukai. Dunia luar melihat kestabilan politik Malaysia hari ini sebagai aset strategik yang penting.
Kerajaan perpaduan mungkin tidak sempurna, tetapi ia telah berjaya mengembalikan fungsi asas negara: kerajaan yang boleh mentadbir, membuat keputusan, dan merancang masa depan negara tanpa diganggu permainan angka setiap minggu.
Sebab itu tindakan mana-mana pimpinan dalam kerajaan yang terlalu ghairah bermain sentimen dalaman sebenarnya sedang menjadi alat percuma kepada Pas. Politik populis yang mahu dilihat “hero kaum” atau “hero parti” akhirnya hanya melemahkan struktur besar yang sedang menyelamatkan negara.
Dalam konteks ini, sosok seperti Akmal Saleh sering dilihat memainkan peranan yang sangat agresif dalam mengeraskan suhu politik dalaman kerajaan.
Pendekatan konfrontasi terbuka, retorik emosional, dan tekanan berterusan terhadap rakan gabungan mungkin memberi keuntungan jangka pendek dari sudut populariti akar umbi, tetapi pada masa sama membuka ruang luas kepada Pas untuk memperkukuhkan naratif bahawa kerajaan perpaduan tidak stabil dan gagal mencapai keserasian.
Politik matang bukan tentang siapa paling lantang menjerit di pentas ceramah atau media sosial. Politik matang ialah kemampuan mengekalkan kesatuan ketika berdepan tekanan besar.
Negara-negara yang berjaya keluar daripada krisis ekonomi global hampir semuanya memiliki satu ciri utama kestabilan politik dalaman.
Malaysia akhirnya sedang menuju ke arah itu selepas bertahun-tahun keletihan politik. Malangnya, Pas memahami bahawa kestabilan adalah musuh terbesar mereka.
Kerana apabila rakyat mula menikmati kestabilan ekonomi, pelaburan meningkat, peluang pekerjaan bertambah, dan negara kembali dihormati di peringkat antarabangsa, maka politik ketakutan dan kebencian akan kehilangan nilai pasaran.
Atas sebab itu, perangkap terbesar hari ini bukan hanya Pas semata-mata. Perangkap terbesar ialah apabila pimpinan dalam kerajaan sendiri gagal menyedari bahawa setiap serangan terhadap sekutu akhirnya menjadi peluru kepada lawan.
Sekiranya pimpinan PH dan BN lambat sedar dan terpengaruh dengan emosi kononnya masing-masig telah kuat dan mampu bersaing maka Pas Bersama sekutu baharunya Hamzah Zainudin akan Berjaya memenuhi ruang politik negara. Dan pada ketika itu negara akan hancur dan ranap dengan politik retorik dan politik menggunakan agama.
BACA JUGA AMK akui krisis, tapi yakin parti masih kuat untuk bangkit