Anwar mahu media terus jadi suara rakyat, pengimbang kuasa
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan peranan wartawan dan pengamal media kekal penting sebagai suara rakyat serta antara institusi utama dalam memperkukuh demokrasi negara.
Bersempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA), beliau merakamkan penghargaan kepada warga media yang selama ini memainkan peranan menyampaikan maklumat kepada masyarakat dan menjadi penghubung antara rakyat dengan pihak berkuasa.
Menurut Anwar, tugas media tidak terhad kepada penyampaian berita semata-mata, sebaliknya memikul amanah besar untuk menegakkan kebenaran berasaskan integriti, kredibiliti dan tanggungjawab profesional.
“Peranan media bukan sekadar menyampaikan berita, tetapi memikul amanah besar untuk menegakkan kebenaran dengan integriti, kredibiliti, keberanian dan rasa tanggungjawab,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata, dalam era digital yang menyaksikan lambakan maklumat serta penyebaran berita tanpa sempadan, kewartawanan yang bertanggungjawab menjadi semakin penting bagi memastikan fakta disampaikan secara tepat dan beretika.
Katanya, pelaporan yang berasaskan fakta juga penting bagi mengelakkan penyebaran maklumat mengelirukan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.
Anwar turut berharap wartawan dan pengamal media akan terus memainkan peranan sebagai pengimbang kuasa serta menjadi suara kepada rakyat dalam mendepani cabaran semasa negara.
“Moga para wartawan dan pengamal media terus menjadi suara rakyat, pengimbang kuasa dan nurani negara,” katanya.
Sambutan HAWANA diraikan setiap tahun sebagai pengiktirafan kepada sumbangan pengamal media dalam pembangunan negara serta usaha memperkukuh kebebasan dan profesionalisme kewartawanan di Malaysia.
BACA JUGA Beli minyak guna MyKad orang lain? Anda boleh dipenjara 3 tahun