Bukan salah pemandu? – Anthony Loke dedah punca awal LRT tergelincir
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mendedahkan kegagalan sistem pertukaran landasan atau switch box dikenal pasti sebagai punca awal insiden tren Transit Aliran Ringan (LRT) tergelincir yang berlaku semalam.
Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati berlaku kerosakan pada sistem switch station yang sepatutnya berfungsi secara automatik bagi mengarahkan tren ke laluan yang betul.
Katanya, kegagalan sistem tersebut menyebabkan gerabak pertama bergerak di landasan yang sepatutnya, namun gerabak-gerabak berikutnya memasuki laluan berbeza sehingga mengakibatkan dua gerabak hadapan keluar daripada landasan.
“Berlaku kegagalan pada sistem switch box atau switch station yang sepatutnya berfungsi secara automatik.
“Akibatnya, gerabak pertama berada di landasan yang betul manakala gerabak berikutnya memasuki laluan lain sehingga menyebabkan dua gerabak pertama tergelincir,” katanya.
Anthony berkata demikian ketika menjelaskan perkembangan terkini siasatan insiden yang melibatkan enam gerabak tren di laluan LRT.
Bagaimanapun, beliau menegaskan punca sebenar kejadian masih belum dimuktamadkan dan memerlukan siasatan lebih menyeluruh sebelum sebarang kesimpulan dibuat.
Menurutnya, pasukan teknikal dan pihak berkuasa berkaitan sedang menjalankan pemeriksaan terperinci terhadap keseluruhan sistem operasi bagi mengenal pasti faktor sebenar yang menyebabkan kegagalan tersebut berlaku.
Beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dalam aspek keselamatan pengangkutan awam dan mahu memastikan insiden sama tidak berulang pada masa hadapan.
“Punca sebenar masih perlu disiasat secara terperinci dan rapi bagi memastikan kejadian seperti ini tidak berulang,” katanya.
Semalam, sebuah tren LRT dilaporkan tergelincir melibatkan enam gerabak, sekali gus mencetuskan kebimbangan orang ramai mengenai tahap keselamatan sistem rel awam negara.
Insiden itu bagaimanapun tidak melibatkan kehilangan nyawa, manakala semua penumpang berjaya dipindahkan dengan selamat.
BACA JUGA Kalau bukan nak publisiti, kenapa BKJ tak masuk akaun?