Kalau bukan nak publisiti, kenapa BKJ tak masuk akaun?

Exco AMK Malaysia, Jalex Lee membidas kenyataan pemimpin MCA, Neow Choo Seong yang mendakwa peruntukan kerajaan adalah untuk rakyat dan bukannya milik mana-mana parti politik.

Menurut Jalex, tiada pihak menafikan hakikat bahawa bantuan kerajaan adalah untuk rakyat, namun beliau mendakwa budaya menggunakan bantuan kerajaan untuk kepentingan politik sebenarnya telah lama dilakukan oleh Barisan Nasional (BN) di Johor.

Katanya, pelaksanaan Bantuan Kasih Johor (BKJ) sendiri menimbulkan pelbagai persoalan termasuk kaedah agihan yang didakwa menyusahkan rakyat.

“Sehingga hari ini saya masih tidak faham mengapa penerima bantuan perlu dihimpunkan di sesuatu tempat untuk menerima bantuan secara tunai,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mempersoalkan mengapa kerajaan negeri tidak menggunakan sistem yang lebih tersusun dan efisien seperti dilaksanakan kerajaan Persekutuan menerusi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Menurutnya, bantuan Persekutuan disalurkan terus ke akaun penerima atau menggunakan kad pengenalan tanpa perlu rakyat hadir beramai-ramai di lokasi tertentu.

“Kalau bukan kerana mahu mencipta persepsi politik dan publisiti murahan, apa lagi sebabnya?” soalnya.

Jalex berkata, apa yang dilakukan pihaknya hanyalah menjelaskan fakta kepada rakyat mengenai sumber sebenar peruntukan dan usaha yang dilakukan oleh Kerajaan Malaysia MADANI.

Katanya, rakyat berhak mengetahui maklumat tepat dan tidak sepatutnya dikelirukan dengan persepsi politik tertentu.

Dalam masa sama, beliau berkata Malaysia memerlukan kerajaan yang stabil dan benar-benar bersatu, justeru setiap parti dalam Kerajaan Perpaduan perlu memainkan peranan memperkukuh kestabilan politik negara.

Namun menurutnya, situasi sebaliknya masih berlaku dalam pentadbiran BN dan MCA di Johor yang didakwa terus memperlekehkan peranan parti lain dalam gabungan kerajaan.

“Malah dalam soal pengagihan jawatan seperti Ahli Majlis, Ketua Masyarakat dan Ketua Kampung, sehingga hari ini PH masih tidak diberikan ruang yang adil walaupun kita telah mencapai kesepakatan membentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata jika benar mahu bercakap soal perpaduan dan kerjasama politik, pemimpin BN Johor perlu belajar menghormati rakan gabungan serta mengiktiraf usaha bersama dalam kerajaan.

“Rakyat Malaysia perlu tahu perkara sebenar dan tidak terus diperdaya dengan sandiwara politik murahan yang hanya bertujuan mencipta persepsi demi kepentingan pihak tertentu,” katanya.

BACA JUGA Gagal bayar sewa, pemilik bangunan mahu saman Pas Kubang Kerian?