Polis siasat MB Perlis video tembak lembu korban
Tindakan Menteri Besar Perlis, Datuk Abu Bakar Hamzah melepaskan tembakan ke arah seekor lembu yang didakwa terlepas kawalan semasa program korban Aidiladha mencetuskan perhatian ramai selepas rakaman kejadian itu tular di media sosial.
Insiden berkenaan kini dalam perhatian polis yang mengesahkan siasatan awal telah dimulakan, termasuk memanggil Abu Bakar bagi mendapatkan keterangannya.
Menurut Ketua Polis Daerah Kangar, Yusharifuddin Mohd Yusop berkata pihak polis telah mengambil maklum mengenai video yang tular walaupun setakat ini belum menerima sebarang laporan rasmi berhubung kejadian tersebut.
“Insiden dalam video tular itu sememangnya dalam pengetahuan polis. Setakat ini tiada laporan diterima, namun siasatan awal sedang dijalankan,” katanya.
Beliau berkata polis kini sedang menyiasat jenis senjata api yang digunakan serta jenis peluru yang dilepaskan, termasuk sama ada ia melibatkan penggunaan peluru hidup.
“Kami akan memanggil Menteri Besar untuk mendapatkan keterangannya berhubung isu ini,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Video yang tersebar sejak semalam menunjukkan seekor lembu dipercayai terlepas daripada kawalan sebelum satu das tembakan dilepaskan bagi menghentikan pergerakannya.
Rakaman itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen, termasuk persoalan mengenai penggunaan senjata api dalam situasi korban serta aspek keselamatan dan pematuhan prosedur.
Mengulas perkara itu, Abu Bakar mempertahankan tindakannya dengan menjelaskan bahawa beliau bertindak selepas lembu berkenaan menjadi agresif dan berpotensi mendatangkan bahaya kepada orang ramai.
Menurut laporan media, beliau berkata lembu tersebut telah terlepas kawalan dan sukar ditangani sehingga menimbulkan risiko kecederaan kepada mereka yang berada di lokasi.
“Saya bukan tembak lembu itu suka-suka. Ia sudah mengganas. Kalau ia menanduk orang sehingga maut, siapa yang akan bertanggungjawab?
“Apabila ia terlepas, kami tidak ada pilihan lain. Jadi saya ambil senapang dan tembak pada bahagian kaki. Selepas ia rebah, barulah proses penyembelihan dilakukan,” katanya.
Beliau turut meminta orang ramai tidak membuat kesimpulan tanpa mengetahui keadaan sebenar yang berlaku ketika kejadian.
Insiden itu kini menjadi topik hangat di media sosial dengan sebahagian pengguna mempertahankan tindakan berkenaan atas faktor keselamatan, manakala sebahagian lain mempersoalkan sama ada terdapat kaedah lain yang boleh digunakan untuk mengawal haiwan tersebut tanpa melibatkan penggunaan senjata api.
Siasatan polis dijangka menentukan sama ada penggunaan senjata dalam insiden itu mematuhi peruntukan undang-undang serta prosedur yang ditetapkan.
BACA JUGA Anwar mahu media terus jadi suara rakyat, pengimbang kuasa