Faiz bidas pengkritik, ingatkan semula peluang bina hospital awam PJ pernah disia-siakan
AMANAH mengkritik tindakan beberapa pihak yang cuba mempolitikkan isu pembinaan Hospital Awam Petaling Jaya, termasuk pertikaian dibangkitkan oleh Pengerusi MCA Selangor, Datuk Lawrence Low.
Setiausaha Agung AMANAH, Faiz Fadzil berkata, isu kesihatan rakyat tidak wajar dijadikan modal politik, apatah lagi Petaling Jaya sudah sekian lama memerlukan sebuah hospital awam sendiri bagi menampung keperluan penduduk yang semakin meningkat, selain mengurangkan tekanan terhadap hospital awam sedia ada di kawasan sekitar seperti Klang dan Shah Alam.
Oleh itu katanya, sementara menunggu projek hospital awam tersebut disiapkan pembinaannya, kerajaan wajar mempertimbangkan langkah sementara yang lebih segera bagi memudahkan rakyat mendapatkan rawatan kesihatan awam.
“Dalam konteks ini, cadangan Galen Centre for Health and Social Policy supaya salah sebuah hospital swasta bersaiz sederhana yang sedia ada di Petaling Jaya disewa dan diambil alih operasinya sebagai hospital awam, wajar dipertimbangkan, sama ada secara sementara untuk tempoh tertentu.
“Pendekatan pengambilalihan sementara hospital swasta adalah selari dengan pendekatan public-private partnership yang telah dimulakan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sejak tahun 2023 dengan pengenalan Hospital Outsourcing Programme (HSOP) yang mana perkhidmatan kesihatan yang mendesak di”outsource” kepada hospital swasta,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Faiz berkata, pendekatan ini berpotensi menjadi penyelesaian praktikal sementara menunggu hospital baharu dibina, selain membantu mengurangkan kesesakan di hospital awam sekitar Lembah Klang dan membolehkan penduduk Petaling Jaya mendapatkan rawatan awam pada jarak yang lebih dekat.
Pada masa sama Faiz menegaskan, semua pihak perlu memahami bahawa pembinaan hospital awam bukan hanya bergantung kepada kerajaan negeri.
Ia memerlukan komitmen dan kerjasama Kerajaan Persekutuan, khususnya dari segi kelulusan, peruntukan, perancangan teknikal dan pelaksanaan projek yang mana ketika tahun 2011, kerajaan persekutuan ditadbir oleh Barisan Nasional.
Menurutnya, ketika cadangan ini mula dibangunkan di peringkat negeri, Kerajaan Persekutuan bukan berada di bawah pentadbiran Pakatan Harapan.Â
Hanya selepas Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya pada tahun 2018, usaha mengenal pasti tapak yang sesuai untuk Hospital Awam Petaling Jaya dapat digerakkan dengan lebih serius.
“Malangnya, usaha tersebut terganggu apabila Kerajaan Pakatan Harapan di peringkat Persekutuan ditumbangkan melalui pengkhianatan Langkah Sheraton. Perubahan politik itu, ditambah pula dengan krisis COVID-19 yang melanda negara, telah menyebabkan agenda penting ini tertangguh.
“Hakikatnya, peluang untuk membangunkan Hospital Awam Petaling Jaya pada kos yang lebih munasabah telah disia-siakan oleh kerajaan-kerajaan terdahulu.
“Kini, apabila kos tanah di Petaling Jaya semakin tinggi, kerajaan perlu lebih teliti, lebih strategik dan lebih berhemah dalam menentukan tapak terbaik untuk projek ini,” katanya lagi.
Beliau berpandangan pemilihan lokasi tidak boleh dilihat secara sempit, dan perlu mengambil kira keperluan rakyat, akses pengangkutan, kesesuaian kawasan serta kewajaran kos.
BACA JUGA Kontroversi MB Perlis tembak lembu korban, Dr Maza perjelas hukumnya