Kenapa ya jemaah Malaysia selalu jadi ‘favourite’ Arab Saudi?

Jemaah haji Malaysia sering menerima pujian di Tanah Suci sehingga banyak momen memperlihatkan mereka sebagai antara kumpulan jemaah yang cukup disenangi dan dipandang tinggi di Arab Saudi.

Situasi ini kerana sikap jemaah yang berdisiplin serta budaya menjaga kebersihan yang diamalkan terutama di Arafah, Muzdalifah dan Mina.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, walaupun berdepan keadaan sesak, cuaca panas dan keletihan sepanjang musim haji, jemaah Malaysia tetap memastikan khemah berada dalam keadaan bersih dan teratur.

Menurut beliau, laluan turut dijaga bersih manakala sampah dibuang secara teratur, sekali gus mencerminkan nilai adab dan amanah sebagai dhuyufurrahman atau tetamu Allah.

“Bila orang lain tinggalkan sampah, jemaah kita tinggalkan teladan,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Beliau berkata, sikap menjaga kebersihan dan ruang yang dikongsi bersama itu menjadi antara faktor jemaah Malaysia sentiasa dipandang tinggi.

“Inilah akhlak dhuyufurrahman yang selalu buat Malaysia dipandang tinggi,” katanya.

Semalam, beliau menyempurnakan Pelancaran Inisiatif Haji Lestari (Green Hajj) 1447H/2026M yang memperkenalkan program kitar semula kain ihram terpakai sebagai usaha membudayakan kelestarian dan ibadah yang lebih bertanggungjawab.

Menurut beliau, sebelum ini kain ihram yang ditinggalkan jemaah haji terlalu banyak dan dibuang begitu sahaja.

Menerusi inisiatif tersebut, kain ihram berkenaan akan dikitar semula dan dijadikan produk lain untuk dimanfaatkan.

Dalam pada itu, beliau berkata Kempen Kebersihan Masyair 1447H/2026M yang memasuki tahun ke-10 pelaksanaannya diteruskan sebagai komitmen memastikan jemaah haji Malaysia di Arafah, Muzdalifah dan Mina sentiasa memelihara kebersihan demi keselesaan bersama serta kemabruran ibadah.

BACA JUGA AMANAH Johor sindir Onn isu BKJ, pemimpin muda tetapi pemikiran tua