Ini siapa ni, bukan orang bunian, Azmin jawab Hadi yang dakwa Bersatu tiada jentera
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membidas dakwaan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang sebelum ini mempertikaikan kekuatan jentera parti itu menjelang pilihan raya.
Ketika berucap dalam ceramah di Melaka semalam, Azmin secara sinis meminta hadirin menunjukkan identiti mereka sebelum disambut sorakan “Bersatu” oleh para penyokong parti itu.
“Ini semua siapa ni?” soal beliau yang disambut laungan “Bersatu” daripada hadirin.
Azmin kemudian menyindir dakwaan bahawa Bersatu tidak mempunyai jentera dengan berkata mereka yang hadir bukanlah “orang bunian”.
“Ini bukan orang bunian. Ini jentera (pilihan raya). Betul atau tidak?” katanya yang disambut jawapan “betul” oleh para penyokong Bersatu.
Dalam masa sama, Azmin mengakui beliau berasa tersinggung dengan kenyataan Abdul Hadi yang didakwa memperlekehkan kekuatan jentera Bersatu.
Menurut bekas pemimpin PKR itu, kenyataan sedemikian tidak menghargai usaha akar umbi parti yang selama ini bertungkus-lumus memperkukuhkan organisasi dan menambah keahlian di seluruh negara.
“Saya lihat bagaimana ketua bahagian, ketua cawangan, ketua sayap, ketua negeri setiap hari bekerja kuat nak tambahkan ahli, kuatkan jentera dan parti.
“Hari ini Bersatu telah pulih dan kuat untuk menghadapi pilihan raya,” tempiknya lagi.
Hubungan Bersatu dan Pas dalam Perikatan Nasional (PN) semakin tegang apabila Abdul Hadi sebelum ini menyatakan akan mengkaji semula hubungan dalam blok pembangkang itu.
Bersatu juga diperlekeh apabila dianggap hanya memperbanyakkan calon tetapi tiada jentera.
BACA JUGA Anwar vs Hadi: Siapa sebenarnya penyumbang kemajuan Islam di Malaysia?