Izham mahu saman Ronnie Liu, dakwa fitnah melampau menjelang pilihan raya

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim akan mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas Exco negeri, Ronnie Liu susulan beberapa tuduhan yang disifatkannya sebagai fitnah dan tidak berasas.

Izham berkata, beliau kini sedang berbincang dengan peguamnya bagi meneliti dakwaan yang dibuat oleh Ronnie sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.

“Saya telah berbincang dengan peguam saya dan akan mengambil tindakan terhadap tuduhan tersebut.

“Ronnie Liu suka membawa perkara-perkara yang membawa fitnah dan hasutan.

“Saya tidak hairan dengan kenyataan-kenyataan pelik daripada Ronnie kerana sebelum ini pun beliau dikenali dengan ucapan-ucapan yang kontroversi,” katanya menerusi rakaman video yang dikongsikan beliau di media sosial.

Terdahulu, Liu menyalahkan Izham berhubung beberapa keputusan berkaitan industri penternakan babi di Selangor.

Liu antara lain menyentuh isu cadangan menamatkan penternakan babi tempatan, pemindahan ladang babi ke Bukit Tagar serta arahan pemindahan ternakan yang masih belum dilaksanakan berpunca daripada Izham dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri.

Bekas pemimpin kanan DAP itu juga menuduh Izham kerap mengugut penternak babi dalam mesyuarat tertutup serta tidak mendengar pandangan kepimpinan parti.

Malah, Liu mendakwa kontroversi tersebut boleh mengakibatkan AMANAH Selangor kehilangan sokongan pengundi dan mungkin akan ‘lenyap’ di Selangor pada pilihan raya akan datang.

Kolektif

Mengulas lanjut, Izham berpendapat Liu sering merasakan pandangannya sahaja yang betul dan enggan menerima pendekatan baharu yang berasaskan teknologi moden.

Izham menegaskan bahawa dakwaan kononnya beliau mahu menamatkan industri ternakan babi di Selangor adalah melulu dan tidak berasas.

Katanya, Liu sendiri mengetahui bahawa sebarang keputusan kerajaan negeri perlu diputuskan secara kolektif menerusi Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

“Ronnie pun tahu, pernah duduk dalam Exco. Sebarang keputusan dalam kerajaan negeri perlu dibawa dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri dan diputuskan secara kolektif.

“Sebagai Exco Pertanian, saya perlu mengambil tanggungjawab berkaitan industri ternakan babi. Saya tidak boleh pilih-pilih tugas,” katanya.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Pandan Indah itu berkata, isu ternakan babi di Selangor telah berlarutan lebih 30 tahun tanpa penyelesaian menyeluruh, termasuk sejak era pentadbiran bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Dr Mohd Khir Toyo.

Menurutnya, kerajaan negeri juga perlu mengambil kira kebimbangan penduduk yang terkesan dengan pencemaran bau dan air akibat aktiviti penternakan tersebut.

“Ini bukan sahaja melibatkan orang Islam tetapi juga isu alam sekitar yang memberi kesan kepada masyarakat setempat,” katanya.

Dalam pada itu, Izham turut menafikan dakwaan berhubung cadangan Pemindahan ladang penternakan babi ke lokasi khas di kawasan Bukit Tagar, Hulu Selangor yang dikaitkan dengan kepentingan peribadi.

Beliau menjelaskan idea berkenaan dibincangkan secara mendalam kerana terdapat pelabur yang mempunyai ladang di kawasan tersebut.

“Tuduhan yang mengatakan idea di Bukit Tagar merupakan idea semata-mata tidak benar. Saya mana ada tanah di Bukit Tagar,” kata beliau lagi.

BACA JUGA Ramai teruja lihat Agong santap sarapan bersama PM Anwar