Marina ucap selamat tinggal pada politik, Nie Ching dedah DAP sebenarnya ada misi lebih besar untuknya
Keputusan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang serta meninggalkan arena politik disifatkan sebagai satu kehilangan besar buat DAP Johor.
Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching berkata, beliau menerima keputusan tersebut dengan perasaan berat hati memandangkan Marina merupakan antara pemimpin muda yang mempunyai potensi besar dan rekod perkhidmatan yang membanggakan.
Menurut Nie Ching, Marina memulakan perjalanan politiknya sebagai ahli Cawangan DAP Indahpura pada 2017 sebelum dilantik sebagai Ahli Majlis Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) pada tahun berikutnya.
Katanya, sepanjang berkhidmat sebagai Ahli Majlis, Marina menunjukkan komitmen tinggi dalam membantu masyarakat dan bekerja keras termasuk di kawasan yang bukan merupakan kubu tradisi DAP.
“Melihat potensi kepimpinan serta minat mendalam untuk khidmat kepada masyarakat, saya bersama ADUN Senai ketika itu, Alan Tee Boon Tsong, telah melantik beliau sebagai Ahli Majlis MPKu pada tahun 2018.
“Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau membuktikan dirinya sebagai seorang pemimpin yang berdedikasi serta bekerja keras,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Marina, 38, mengumumkan telah membuat keputusan untuk tidak bertanding dalam pilihan raya akan datang dan berundur daripada arena politik.
Beliau sebelum ini merupakan calon pertama kali bertanding dan menang pada PRN 2022 mewakili Pakatan Harapan (PH).
Marina berkata, beliau berhasrat untuk kembali memberi tumpuan kepada kerja kemasyarakatan yang disifatkannya sebagai amat dekat di hati beliau dan telah menjadi sebahagian daripada kehidupannya sebelum melangkah ke dunia politik.
Satu penggal
Mengulas lanjut, Nie Ching berkata, apabila Marina dipilih sebagai calon DAP bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Skudai pada Pilihan Raya Negeri Johor 2022, parti sebenarnya telah merancang pencalonan itu untuk tempoh satu penggal sahaja.
Jelasnya, strategi jangka panjang DAP adalah untuk membolehkan Marina membina rekod sebagai wakil rakyat sebelum digerakkan ke kawasan bandar lain yang pernah dimenangi Pakatan Harapan (PH) tetapi bukan kawasan tradisi parti.
Kata Nie Ching yang juga Timbalan Menteri Komunikasi, menjelang PRN Johor akan datang, Marina dilihat sebagai calon paling berpotensi untuk menggalas misi strategik tersebut kerana mempunyai peluang kemenangan yang tinggi.
“Pada asasnya, kepimpinan parti berpandangan bahawa Marina merupakan calon paling berpotensi yang mempunyai peluang kemenangan paling tinggi untuk menggalas misi strategik DAP melangkah keluar daripada kawasan tradisi parti,” katanya.
Diberi ruang
Malah, Nie Ching mendedahkan beliau turut menawarkan jaminan bahawa Marina akan terus diberi ruang menyumbang kepada negara tanpa mengira keputusan pilihan raya, termasuk dengan cadangan untuk memegang jawatan Pengerusi sebuah badan berkanun.
Bagaimanapun, Marina tetap memilih untuk berundur daripada arena politik.
Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata, jika perbincangan berkaitan strategi pilihan raya negeri telah menimbulkan rasa kurang senang terhadap Marina, beliau secara terbuka merakamkan rasa kesal.
“Sebagai seorang rakan seperjuangan dan juga Pengerusi DAP Johor, saya berasa amat berat hati apabila Marina memilih untuk meninggalkan arena politik pada ketika ini.
“Namun sebagai Pengerusi, menjadi tanggungjawab saya untuk merangka strategi terbaik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Johor yang bakal tiba,” katanya.
Dalam masa sama, Nie Ching turut merakamkan penghargaan atas segala jasa, khidmat bakti dan komitmen Marina kepada parti dan rakyat sepanjang penglibatannya dalam politik serta mendoakan kejayaan beliau dalam apa jua bidang yang diceburi selepas ini.
BACA JUGA Janganlah pekak, Azmin jawab dakwaan Hadi Bersatu tiada jentera