Siapa calon Wanita Muda AMANAH bakal diketengah di Terengganu?
AMANAH Kuala Terengganu menyasarkan untuk mengetengahkan seorang calon daripada Wanita Muda AMANAH (WARDA) bagi mewakili parti itu di salah satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Kuala Terengganu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Cadangan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Kawasan Kuala Terengganu yang berlangsung baru-baru ini selepas mengambil kira perubahan demografi pengundi yang menyaksikan kelompok anak muda kini memainkan peranan semakin penting dalam menentukan landskap politik negeri.
Ketua AMANAH Kuala Terengganu, Zamir Ghazali berkata, jumlah pengundi dalam saluran 4, 5, 6 dan 7 kini hampir seimbang dengan keseluruhan komposisi pengundi lain, sekali gus menjadikan golongan muda antara penentu utama masa depan politik Terengganu.
“AMANAH Kuala Terengganu berpandangan bahawa perkembangan ini menuntut keberanian untuk membawa suara generasi muda terus ke dalam institusi pembuat dasar,” tegasnya dalam satu kenyataan dikeluarkan sebentar tadi.
Beliau berpendapat AMANAH perlu memberi ruang kepada pemimpin muda daripada kelompok mereka sendiri bagi mewakili aspirasi, cabaran dan harapan generasi baharu yang bakal membentuk masa depan Terengganu.
Malah, tegasnya, AMANAH Kuala Terengganu mempunyai barisan kepimpinan wanita muda yang berkelayakan, berpengalaman dan memiliki rekod kepimpinan yang baik.
Antara profil yang dilihat berpotensi ialah seorang pemimpin WARDA yang merupakan anak jati Kuala Terengganu, memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial (Geografi) dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) serta Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.
Perspektif baharu
Menurut Zamir, pemimpin muda berkenaan kini berkhidmat sebagai Pegawai Khas kepada seorang Exco kanan Kerajaan Negeri Selangor dan mempunyai pengalaman hampir sedekad dalam bidang pengurusan korporat serta infrastruktur awam.
“Latar belakang seperti ini membuktikan bahawa wanita muda hari ini bukan sahaja bersedia untuk memimpin, malah mampu membawa perspektif baharu dalam pembangunan negeri,” katanya.
Beliau berpendapat pilihan raya akan datang bukan sekadar mengenai kemenangan politik, sebaliknya memastikan Dewan Undangan Negeri (DUN) mempunyai wakil yang benar-benar memahami realiti kehidupan anak muda masa kini.
“Isu peluang pekerjaan berkualiti, gaji yang bermaruah, kos sara hidup, akses kepada perumahan serta kebajikan golongan muda perlu diberikan perhatian lebih serius dalam agenda pembangunan negeri,” katanya.
Sehubungan itu, AMANAH Kuala Terengganu akan terus memperkukuh proses pembangunan kepimpinan wanita muda dan generasi pelapis sebagai persediaan menghadapi pilihan raya akan datang.
“Parti yakin bahawa penglibatan lebih ramai wanita muda dalam politik bukan sahaja mampu menyuntik nafas baharu kepada demokrasi, malah menjadi langkah penting dalam melahirkan kepimpinan masa depan yang lebih segar, progresif dan dekat dengan rakyat,” kata Zamir lagi.
BACA JUGA Izham mahu saman Ronnie Liu, dakwa fitnah melampau menjelang pilihan raya