Agong ingatkan rakyat: Jangan sampai sejarah 13 Mei berulang

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim mengingatkan rakyat supaya tidak melupakan peristiwa hitam 13 Mei 1969 yang menjadi antara detik paling gelap dalam sejarah negara akibat perpecahan kaum dan hilangnya rasa hormat antara masyarakat.

Seri Paduka Baginda bertitah bahawa perpaduan merupakan asas kekuatan negara dan perlu terus dipelihara bagi menjamin kemajuan ekonomi, kestabilan politik serta keharmonian masyarakat majmuk Malaysia.

“Bagi menjamin kemajuan ekonomi, keharmonian kaum dan kestabilan negara, rakyat haruslah bersatu hati, bertolak ansur dan saling hormat-menghormati serta berpegang teguh kepada prinsip Rukun Negara,” titah Baginda.

Menurut Sultan Ibrahim, tragedi 13 Mei 1969 berlaku apabila terdapat pihak yang bertindak melampaui batas sehingga menghina pihak lain dan mengabaikan nilai hormat-menghormati yang menjadi tunjang kepada keamanan negara.

“Jangan kita lupa sejarah hitam negara, peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969 yang tercetus apabila ada pihak yang bertindak keterlaluan, menghina orang lain dan hilang rasa hormat kepada bangsa dan ketuanan negara ini,” titah Baginda.

Titah tersebut disampaikan sempena Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini.

Dalam titah yang sama, Baginda turut mengingatkan bahawa pengenalan Rukun Negara pada 31 Ogos 1970 merupakan satu ikrar nasional yang diwujudkan bagi memulihkan perpaduan rakyat selepas tragedi 13 Mei.

Menurut Baginda, prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara bukan sekadar lafaz yang dibaca di sekolah, tetapi perlu dihayati dan diamalkan dalam kehidupan seharian.

“Saya menyeru semua pihak agar menghayati prinsip Rukun Negara dan menjadikannya amalan serta garis panduan hidup rakyat Malaysia.

“Malah sejak di bangku sekolah lagi, semua pelajar telah dididik untuk membaca ikrar ini,” titah Baginda.

Sultan Ibrahim turut memberikan peringatan tegas bahawa setiap rakyat Malaysia mempunyai tanggungjawab untuk menghormati dan mematuhi prinsip yang menjadi asas pembentukan negara.

“Oleh yang demikian, jika ada mana-mana rakyat Malaysia yang tidak mahu mengikut prinsip tersebut, maka dia tidak layak digelar sebagai warganegara Malaysia,” titah Baginda.

Titah Yang di-Pertuan Agong itu hadir ketika negara berdepan pelbagai cabaran termasuk peningkatan polemik berkaitan isu kaum, agama dan identiti di media sosial, selain suasana politik yang semakin memanas menjelang beberapa pilihan raya yang dijangka berlangsung dalam tempoh terdekat.

Peringatan tersebut dilihat sebagai seruan supaya semua pihak, tanpa mengira latar belakang politik atau kaum, terus mempertahankan semangat perpaduan yang menjadi asas kepada keamanan dan kemakmuran Malaysia sejak sekian lama.

BACA JUGA Pas tak boleh anggap diri ‘bos’ pembangkang, Ramasamy