Pas tak boleh anggap diri ‘bos’ pembangkang, Ramasamy
Pengerusi Urimai, P Ramasamy menyelar sikap Pas yang didakwanya bertindak seolah-olah mempunyai kuasa mutlak menentukan hala tuju politik pembangkang negara, termasuk siapa yang layak menggunakan logo Perikatan Nasional (PN).
Menurut beliau, Pas mungkin mempunyai pengaruh yang kuat dalam kalangan pengundi Melayu di beberapa negeri, namun parti itu masih gagal membina sokongan yang signifikan dalam kalangan masyarakat bukan Melayu.
Sebaliknya, katanya, Bersatu mempunyai kelebihan tersendiri kerana berpotensi menarik sokongan daripada pengundi Melayu dan bukan Melayu.
“Tiada pemimpin Melayu dalam Pas yang mempunyai pengalaman dan pendedahan politik setanding dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ramasamy mengulas kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang menegaskan hanya parti komponen rasmi PN dibenarkan menggunakan lambang gabungan itu dalam pilihan raya.
Tuan Ibrahim sebelum ini berkata tiada keputusan dibuat untuk membenarkan parti-parti di bawah Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) menggunakan logo PN kerana perkara tersebut tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat rasmi gabungan berkenaan.
Kenyataan itu dilihat bercanggah dengan kenyataan Pengerusi Bersatu, Muhyiddin yang sebelum ini membayangkan parti-parti di bawah IPR boleh menggunakan lambang PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.
Mengulas perkara itu, Ramasamy mempersoalkan sama ada Pas sebenarnya bimbang dengan kemungkinan terbentuknya gabungan pembangkang yang lebih besar untuk mencabar Pakatan Harapan (PH).
Menurutnya, tindakan menolak penyertaan IPR di bawah payung PN menimbulkan persoalan sama ada Pas cuba mengehadkan pengaruh Bersatu dalam gabungan tersebut.
“Adakah Pas bimbang IPR akan memperkukuh kedudukan dan kepimpinan Muhyiddin dalam PN?” soalnya.
Beliau turut mendakwa keengganan memberi ruang kepada IPR boleh ditafsirkan sebagai usaha politik tertentu untuk meminggirkan Bersatu dalam percaturan pembangkang.
“Sama ada keengganan untuk memberi ruang kepada IPR merupakan satu usaha untuk menghidupkan semula pengaruh politik Datuk Seri Hamzah Zainudin dan rakan-rakannya yang telah disingkirkan daripada Bersatu masih belum jelas,” katanya.
Walau bagaimanapun, Ramasamy menegaskan bahawa Urimai tidak terdesak untuk menyertai PN semata-mata bagi mendapatkan platform politik.
Katanya, minat parti itu terhadap PN adalah atas dasar membina kerjasama lebih luas dalam kalangan pembangkang, bukannya kerana keperluan politik yang mendesak.
“Walaupun kami menghormati Muhyiddin dan Bersatu, kami sama sekali tidak terlalu ghairah atau terdesak untuk menyertai PN.
“Sekiranya terdapat kemungkinan Bersatu bertanding secara bersendirian dalam pilihan raya akan datang, kami bersedia untuk memberikan sokongan kepada parti tersebut dalam kerangka IPR,” katanya.
Kenyataan Ramasamy itu dilihat menambahkan lagi tekanan terhadap hubungan Pas dan Bersatu yang kebelakangan ini berdepan beberapa perbezaan pandangan berhubung hala tuju serta strategi pembangkang menjelang PRN Melaka dan Pilihan Raya Umum akan datang.
BACA JUGA Media sosial kini ada had umur, ini yang perlu anda tahu?