Sah! Johor bubar DUN hari ini, PRN ke-16 bermula
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) berkuat kuasa hari ini.
Perkara tersebut diumumkan menerusi sidang media di Kediaman Menteri Besar Johor di Johor Bahru sebentar tadi.
Onn berkata, pembubaran itu selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail pagi tadi.
“Watikah pembubaran DUN Johor Ke-15 telah diperkenankan berkuat kuasa hari ini selaras Undang-Undang Tubuh Negeri Johor.
“Pembubaran ini dibuat bagi memberi laluan kepada proses demokrasi.
“Keputusan ini dibuat dengan niat memastikan rakyat Johor terus memiliki kerajaan stabil dan kukuh,” katanya.
Dalam masa sama, Onn yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap menzahirkan harapan agar keharmonian serta muafakat rakyat Johor terus terpelihara.
“Semoga Allah SWT memelihara negeri Johor, melindungi rakyat serta dikurniakan kestabilan, kemakmuran dan keberkatan,” kata beliau lagi.
Terdapat 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor dengan Barisan Nasional (BN) memiliki 40 kerusi diikuti Pakatan Harapan (PH) 12, Perikatan Nasional (PN) 3 dan Muda 1 kerusi.
BACA JUGA Trend pengundi PN kembali kepada BN besar di Selangor