Trend pengundi PN kembali kepada BN besar di Selangor

Trend pengundi Perikatan Nasional (PN) yang kembali menyokong Barisan Nasional (BN) dilihat semakin ketara di Selangor berdasarkan dapatan kajian lapangan yang dijalankan sebuah universiti tempatan.

Pemerhati politik, Jamzuri Ardani berkata, hasil kajian yang diteliti di kawasan Hulu Langat menunjukkan berlaku pergerakan pengundi PN ke arah BN dalam gelombang yang agak besar dan mengejutkan.

Menurut beliau, jika corak yang sama berlaku di seluruh Selangor, lebih separuh kerusi yang kini dikuasai PN berpotensi bertukar tangan kepada sama ada BN atau Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya akan datang.

“Agak mengejutkan kerana jelas pergerakan pengundi PN kembali kepada BN dalam gelombang yang agak besar.

“Jika trend ini sama di seluruh Selangor, lebih separuh kerusi PN di negeri ini akan bertukar tangan sama ada kepada BN atau PH,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Untuk rekod, PN di Selangor pada masa ini mempunyai 21 kerusi DUN manakala PH (32), BN (2)dan Bebas 1 kerusi.

Mengulas lanjut, Jamzuri berkata, berdasarkan data kajian tersebut, peluang PN untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih dilihat amat sukar.

“DUN Dusun Tua jika berlaku tiga penjuru, kemungkinan untuk PH mengambil semula kerusi tersebut agak besar.

“Bagi kerusi Parlimen Hulu Langat, kedudukan PH agak selesa kecuali jika BN dan PN bergabung,” katanya.

Beliau turut menjelaskan kajian berkenaan dijalankan selepas peletakan jawatan Datuk Seri Rafizi Ramli sebagai menteri, namun sebelum pengumuman penubuhan parti Bersama.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa sentimen politik semasa sangat dinamik dan boleh berubah dalam tempoh singkat.

“Penganalisis telah memberikan peringatan bahawa sentimen pengundi sangat tidak menentu dan sering berubah dari masa ke semasa.

“Tidak ada parti politik yang boleh merasa selesa. Ini bagus untuk demokrasi,” kata Jamzuri lagi.

BACA JUGA Ramai teruja lihat Agong santap sarapan bersama PM Anwar