PH Johor sudah jangka BN bubar DUN, sedia hadapi PRN
Pakatan Harapan (PH) Johor menegaskan gabungan itu telah menjangkakan Barisan Nasional (BN) akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dalam masa terdekat bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).
PH Johor berkata, perkembangan tersebut sekali gus menguatkan tanggapan mereka bahawa sidang DUN yang sebelum ini dijadualkan berlangsung pada 22 Jun adalah sesuatu yang tidak munasabah.
“Dari awal lagi PH telah menjangkakan BN akan membubarkan DUN dalam masa terdekat.
“Dan ternyata sidang DUN yang diumumkan akan diadakan pada 22 Jun nanti adalah ‘tidak masuk akal’ sama sekali,” menurut kenyataan bersama PH Johor hari ini.
Kenyataan bersama tersebut ditandatangani Pengerusi PH Johor merangkap Pengerusi AMANAH negeri, Aminolhuda Hassan; Pengerusi PKR negeri, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Pengerusi DAP negeri, Teo Nie Ching.
Terdahulu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran DUN Johor yang berkuat kuasa hari ini selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Menurut PH Johor, gabungan itu menghormati proses demokrasi dan akan meneruskan segala persiapan yang telah dirancang bagi menghadapi pilihan raya negeri berkenaan.
“Atas semangat demokrasi, Pakatan Harapan akan meneruskan persiapan sedia ada bagi menghadapi pilihan raya ini,” katanya.
Dalam masa sama, PH Johor memaklumkan perbincangan lanjut akan dibawa ke peringkat Majlis Presiden PH Pusat bagi merangka strategi dan langkah seterusnya menjelang PRN.
Gabungan itu turut menegaskan bahawa mereka tidak memandang mudah cabaran yang bakal dihadapi dalam pilihan raya tersebut.
“Bagi kami, tidak ada pilihan raya yang mudah.
“Pakatan Harapan siap sedia menggembleng usaha sebaik mungkin untuk memenangi PRN kali ini,” menurut kenyataan itu lagi.
Untuk rekod, DUN Johor mempunyai 56 kerusi keseluruhannya.
BN merupakan gabungan terbesar dengan 40 kerusi, diikuti PH (12), PN (3) dan Muda (1).
BACA JUGA Sah! Johor bubar DUN hari ini, PRN ke-16 bermula