Berlinang air mata baca cerita Ain dan Uncle Koay

Kisah pertemuan semula antara seorang anak murid dengan bekas gurunya selepas lebih dua dekad berpisah menyentuh hati ramai.

Lelaki berbaju hijau dalam pertemuan penuh emosi itu ialah Uncle Koay Aun Chuan, seorang pesara dan mantan guru Geografi di SMK Kuala Ketil. 

Wanita berbaju kurung pula ialah Ain Ahmad, seorang anggota polis yang juga merupakan bekas pelajar sekolah berkenaan.

Menurut perkongsian pengguna Facebook Adrian Lim Chee En, Uncle Koay banyak membantu Ain ketika anak muridnya itu masih menuntut di Tingkatan Enam pada tahun 2004. 

Ketika itu, Ain berasal daripada keluarga yang serba kekurangan dan berdepan kesukaran untuk menjelaskan yuran peperiksaan STPM.

Disebabkan kesempitan hidup, dia pernah bercadang untuk menggadaikan barangan harta miliknya bagi mendapatkan wang untuk membayar yuran peperiksaan. Namun, hasrat itu diketahui oleh Cikgu Koay.

Cikgu Koay telah membantu memberikan wang yang diperlukan untuk menjelaskan yuran peperiksaan STPM.

Bukan itu sahaja, sepanjang tempoh persekolahan, Cikgu Koay juga banyak membantu Ain dalam pelbagai keperluan pembelajaran termasuk pembelian buku rujukan, kos fotostat dan perbelanjaan lain yang berkaitan dengan pendidikan.

Selepas tamat peperiksaan STPM pada tahun 2004, kehidupan membawa mereka ke haluan masing-masing. 

Ain meneruskan cita-citanya dengan menyertai latihan kadet sebelum berkhidmat sebagai anggota polis. 

“Walaupun terpisah selama lebih dua dekad, Ain sentiasa ingat tentang jasa dan bantuan Cikgu Koay.

“Ain telah menggunakan masa yang lama untuk mencari dan menjejak Cikgu Koay kerana ingin bertemu semula cikgu yang banyak membantu Ain ketika Ain susah,” kongsinya.

Usaha tersebut akhirnya membuahkan hasil apabila pada Mei 2026, Ain berjaya menghubungi semula Cikgu Koay. 

“Akhirnya pada bulan Mei 2026, Ain berjaya contact semula dengan Cikgu Koay. Lalu, Ain membuat perancangan kembali ke Kuala Ketil sempena cuti panjang baru-baru ini.

“Pada minggu yang lalu, Ain dan Cikgu Koay telah bertemu semula,” katanya lagi.

BACA JUGA Kisah kereta berlumba sebelum nahas, 4 meninggal di tempat kejadian