Bersatu Johor bergegar lagi, Ketua Bahagian Mersing angkat kaki
Menghampiri Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, parti komponen Perikatan Nasional (PN), Bersatu negeri di selatan tanah air itu bergegar lagi.
Giliran Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Mersing, Alwiyah Talib yang dilantik berkuat kuasa 10 Mac lalu pula angkat kaki dan kembali menyertai UMNO.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau itu berkata, keputusan tersebut dibuat selepas mempertimbangkan pelbagai aspek yang disifatkan penting demi kebaikan serta masa depan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau.
Menurutnya, keputusan tersebut turut melibatkan peletakan semua jawatan yang disandangnya dalam Bersatu dan dibuat atas kehendak sendiri tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.
“Setelah mengambil kira beberapa aspek, demi kebaikan dan masa depan DUN Endau, saya telah membuat keputusan untuk mengumumkan keluar daripada parti Bersatu dan meletakkan segala jawatan saya dalam parti berkuat kuasa serta-merta serta kembali bersama UMNO,” katanya dalam sidang media hari ini.
Beliau menegaskan bahawa pendiriannya untuk terus berkhidmat kepada rakyat di DUN Endau tidak akan berubah meskipun mengambil keputusan meninggalkan Bersatu.
Jelasnya, langkah itu dibuat demi memastikan kelangsungan pembangunan kawasan serta memperkukuh aspek penyatuan dalam kalangan masyarakat di DUN berkenaan.
“Saya percaya tindakan ini dibuat antara lain demi kelangsungan dan masa depan yang lebih baik selain terus memperkukuh aspek penyatuan bagi DUN Endau,” ujarnya.
Kebajikan rakyat
Pemimpin wanita berkenaan turut merakamkan penghargaan kepada pengundi dan semua pihak yang telah memberikan sokongan serta kerjasama sepanjang tempoh khidmatnya sebagai wakil rakyat kawasan tersebut sejak 2018.
Alwiyah berharap hubungan baik yang terjalin selama ini dapat diteruskan demi memastikan kebajikan rakyat Endau terus terbela.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2018, Alwiyah pertama kali memenangi kerusi DUN Endau pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) atas tiket Barisan Nasional (UMNO).
Namun, pada Mei 2018, beliau bersama beberapa ADUN Johor yang lain telah keluar dari UMNO dan menyertai Bersatu.
Dalam PRN 2022, Alwiyah berjaya mempertahankan kerusi DUN Endau di bawah tiket Perikatan Nasional (PN-Bersatu) dalam pertandingan lima penjuru.
BACA JUGA PH boleh rampas semula Johor, dua sifir mudah ini boleh ubah segalanya