Kerjasama strategik dua kementerian ini perkasa TVET, veteran ATM dapat manfaat
Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dan Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) hari ini memeterai kerjasama strategik bagi memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta memperluas peluang kerjaya kepada bakal pesara dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menerusi hantaran di Facebook MOT, dimaklumkan bahawa melalui kerjasama tersebut sebanyak 3,208 kekosongan jawatan dikenal pasti dalam sektor pengangkutan.
Ia meliputi subsektor pelabuhan, logistik, rel, pengangkutan awam, pengangkutan darat dan rantaian bekalan.

“Inisiatif ini turut disokong melalui lapan pertukaran Nota Persefahaman bersama pemain industri bagi memperkukuh laluan latihan, pensijilan dan penempatan pekerjaan.
“Bagi menyokong usaha ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut memudah cara pengiktirafan kemahiran dan pengalaman pemanduan anggota ATM, termasuk laluan mendapatkan lesen memandu vokasional yang diperlukan industri,” menurut hantaran itu.
Tambahnya, langkah tersebut membantu meningkatkan kebolehpasaran serta mempercepatkan peralihan kerjaya anggota dan veteran ATM ke sektor pengangkutan.
“Kerjasama ini mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkasa bakat tempatan, membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti dan memastikan jasa anggota serta veteran ATM terus dimanfaatkan untuk pembangunan negara,” menurut perkongsian itu lagi.
BACA JUGA Bersatu Johor bergegar lagi, Ketua Bahagian Mersing angkat kaki