KUSKOP Era MADANI sasar bantu 200 PKS melangkah ke Bursa Malaysia
Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) merupakan tulang belakang ekonomi negara, menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan ekonomi, peluang pekerjaan dan pembangunan keusahawanan.
Namun begitu, ramai usahawan berdepan cabaran untuk membawa perniagaan mereka ke tahap lebih tinggi, khususnya dalam mendapatkan akses kepada modal yang lebih besar bagi memperluaskan operasi dan meningkatkan daya saing.
Menyedari keperluan tersebut, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui SME Corp. Malaysia telah melancarkan Program PKS@BURSA, satu inisiatif strategik yang bertujuan membantu PKS tempatan bersedia untuk mengakses pasaran modal melalui penyenaraian di Bursa Malaysia.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM50 juta sehingga tahun 2030 bagi menjayakan program tersebut dengan sasaran melibatkan 200 syarikat PKS.
Inisiatif ini diwujudkan bagi menangani dua cabaran utama yang sering dihadapi syarikat yang sedang berkembang, iaitu kos persediaan penyenaraian dan keperluan membangunkan keupayaan untuk memasuki pasaran modal.
Berpotensi tinggi
Melalui program ini, syarikat yang berjaya disenaraikan di Bursa Malaysia dalam tempoh lima tahun layak menerima rebat sehingga 20 peratus.
Langkah tersebut dijangka dapat mengurangkan beban kos persediaan penyenaraian sekali gus menggalakkan lebih banyak PKS berpotensi tinggi untuk meneroka peluang pembiayaan melalui pasaran modal.
PKS@BURSA merangkumi dua komponen utama. Pertama ialah Dana Penyenaraian PKS yang menawarkan pembiayaan antara RM2 juta hingga RM5 juta pada kadar keuntungan lima peratus setahun untuk tempoh sehingga lima tahun.
Pembiayaan ini boleh digunakan bagi tujuan modal kerja, perbelanjaan modal serta keperluan korporat berkaitan proses penyenaraian.
Komponen kedua pula ialah Program Pembangunan Kapasiti dan Keupayaan PKS yang menyediakan latihan berstruktur, seminar, bengkel, program jelajah dan bimbingan secara satu-ke-satu bersama penasihat penyenaraian, juruaudit, ejen cukai serta pakar tadbir urus korporat.
Program ini turut dilaksanakan dengan kerjasama Bursa Malaysia, Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) dan rakan ekosistem lain bagi memastikan syarikat mendapat panduan menyeluruh sebelum memasuki pasaran modal.
Menurut Steven Sim, matlamat utama program ini bukan sekadar melahirkan lebih banyak syarikat tersenarai, tetapi membina lebih banyak syarikat yang benar-benar berkeupayaan untuk disenaraikan.
Selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13, PKS@BURSA dijangka menjadi pemangkin penting dalam memperkukuh ekosistem pasaran modal negara serta membantu melahirkan lebih banyak juara korporat tempatan yang mampu bersaing di peringkat lebih tinggi.
BACA JUGA Kerjasama strategik dua kementerian ini perkasa TVET, veteran ATM dapat manfaat