Selepas titah Raja Perlis, PN nafi ada cubaan bawa usul tak percaya terhadap MB
Berlegar sejak minggu lalu desas desus mengenai kemungkinan Perikatan Nasional (PN) Perlis akan membawa usul usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar pada persidangan DUN kali ini.
Pun begitu, Pengerusi PN Perlis, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim menafikan sebarang cubaan untuk menjatuhkan Menteri Besar dari Bersatu itu selepas Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, bertitah supaya Menteri Besar dapat mentadbir tanpa sebarang gangguan.
Shahidan berkata, PN Perlis tidak mempunyai masalah dengan titah berkenaan, namun menyerahkan keputusan berkenaan hala tuju kepimpinan negeri kepada pucuk pimpinan parti dan PN.
“Saya tidak ada masalah. Sebagai Pengerusi PN di negeri ini, semuanya kita serahkan kepada yang terbaik. Itu titah Tuanku Raja Perlis, jadi kita menjunjung kasih.
“Perkara lain itu kita serah kepada Jawatankuasa Pas Pusat dan kepimpinan PN Nasional,” katanya memetik laporan media.
Menjawab soalan berhubung kemungkinan wujud cubaan membawa usul undi tidak percaya terhadap Abu Bakar pada persidangan DUN yang berlangsung selama tiga hari ini, beliau tegas menafikan perkara itu akan berlaku.
Terdahulu, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menitahkan supaya Abu Bakar diberikan ruang untuk terus memimpin Perlis sehingga tempoh penggal DUN ke-15 berakhir, tanpa sebarang kacau ganggu yang boleh merencatkan perancangan negeri.
Baginda bertitah, pentadbiran ketika ini adalah ‘Kerajaan Beta,’ selain menggesa semua ADUN mengetepikan ego masing-masing dan mengutamakan kepentingan rakyat bagi menjamin kestabilan politik negeri.
BACA JUGA Dakwa PMX gagal sebab harga minyak, Caprice bagi soalan perangkap dekat Armada