Bersama ni Muda 2.0, tapi tak mustahil jadi sama macam Bersatu
Kemunculan parti baharu Bersama dalam landskap politik negara dijangka tidak memberi impak besar dalam pilihan raya terdekat, kata penganalisis Faiz Ahmad.
Beliau berpendapat bahawa Bersama mempunyai persamaan dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) tetapi terdapat perbezaan penting yang boleh mempengaruhi hala tujunya pada masa depan.
Menurutnya, Bersama boleh dianggap sebagai “Muda 2.0”, tetapi parti itu diasaskan oleh dua tokoh yang lebih berpengalaman dalam arena politik nasional berbanding Muda yang hanya bergantung pada ketokohan bekas presiden, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
“Bersatu ini (ibarat) Muda 2.0. Tapi berbeza dengan Muda, parti Bersama diasaskan oleh dua pemimpin yang merupakan pemain lama dalam politik,” katanya ketika menjadi panel dalam Kerusi Panas Podcast baru-baru ini.
Faiz berkata, berdasarkan kedudukan semasa, Bersama dijangka tidak memberi kesan besar kepada keputusan pilihan raya yang bakal berlangsung dalam masa terdekat.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa parti baharu tidak seharusnya dipandang rendah kerana sejarah politik Malaysia pernah menyaksikan kemunculan parti yang pada awalnya dianggap kecil tetapi akhirnya berjaya mencipta gelombang sokongan.
“Dalam pilihan raya akan datang yang terdekat ini, ia mungkin tidak memberi impak yang besar untuk jangka masa pendek.
“Cuma jangan nafikan mungkin mereka boleh membina momentum. Saya tidak sukalah apabila ada pihak yang memandang rendah,” katanya.
Menurut Faiz, masa depan Bersama bergantung kepada sejauh mana parti itu mampu memanfaatkan kelemahan atau kekuatan pihak kerajaan serta pembangkang sedia ada.
Tegasnya, prestasi kerajaan dan reaksi parti-parti pembangkang lain akan menjadi faktor penting yang menentukan sama ada Bersama mampu berkembang menjadi kuasa politik yang berpengaruh atau sebaliknya tenggelam dalam persaingan politik yang semakin sengit.
“Untuk pilihan raya yang lebih ke depan, semuanya bergantung kepada prestasi dan respons kerajaan serta pembangkang yang lain.
“Ia boleh menyebabkan parti ini berkembang dengan lebih baik, tenggelam, atau mungkin akhirnya menjadi seperti Bersatu,” ujarnya lagi.
BACA JUGA Dominasi satu parti bukan formula jamin kestabilan politik