Pejabat Speaker Dewan Rakyat jawab desas-desus tiada sidang Parlimen

Desas-desus kononnya persidangan Dewan Rakyat ditiadakan bagi memberikan laluan kepada pelaksanaan pilihan raya di beberapa negeri di Semenanjung rupanya tidak benar.

Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memaklumkan bahawa tiada sebarang perubahan pada jadual persidangan Dewan Rakyat.

Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-15 yang dijadualkan bermula pada 22 Jun ini, akan diteruskan mengikut takwim yang ditetapkan.

“Setakat ini, tiada sebarang perubahan pada jadual persidangan Dewan Rakyat yang telah dipaparkan dalam takwim rasmi Parlimen,” menurut Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat, dipetik Bernama.

Mengikut takwim menerusi portal Parlimen, Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-15 dijadualkan berlangsung selama 16 hari bermula dari 22 Jun hingga 16 Julai ini.

Mesyuarat pertama Dewan Rakyat berakhir pada 3 Mac lalu selepas bersidang selama 20 hari.

Pada 1 Jun lalu, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor setelah mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail.

Semalam, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun pula mengumumkan DUN Negeri Sembilan, yang mempunyai 36 kerusi, secara rasmi dibubarkan berkuat kuasa hari ini.

BACA JUGA PH Pahang tolak politik tarik sokongan, kerajaan negeri kukuh pegang janji bersama BN