PH Pahang tolak politik tarik sokongan, kerajaan negeri kukuh pegang janji bersama BN
Pakatan Harapan (PH) Pahang menegaskan komitmennya untuk terus mempertahankan Kerajaan Perpaduan negeri itu.
Gabungan itu menyifatkan tindakan menarik sokongan terhadap kerajaan seperti yang berlaku di Negeri Sembilan sebagai sesuatu yang tidak wajar dilakukan terhadap pentadbiran yang berfungsi dengan baik.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan Pahang, Mohd Fadzli Mohd Ramly berkata, hubungan antara PH dan Barisan Nasional (BN) di negeri itu dibina atas asas persefahaman yang jelas melalui satu perjanjian rasmi yang dimeterai selepas Pilihan Raya Umum ke-15.
Menurut beliau, perjanjian tersebut dirangka secara teliti bagi memastikan kedua-dua pihak memahami tanggungjawab masing-masing serta mengelakkan sebarang pertikaian pada masa hadapan.
“Saya diarahkan oleh Menteri Besar Selangor yang ketika itu menjadi Pengerusi PH Pahang untuk menyediakan Perjanjian Kerajaan Perpaduan Pahang antara BN dan PH.
“PH dan BN berbincang bersungguh-sungguh. Kami tidak mahu timbul masalah kemudian hari. Orang kata kalau hendak bergaduh, biar bergaduh sekarang, jangan ungkit kemudian,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, perjanjian yang ditandatangani kedua-dua gabungan itu bukan sekadar dokumen politik, malah dianggap sebagai satu janji untuk bersama-sama berkhidmat kepada rakyat serta memelihara kestabilan negeri.
“Perjanjian ini adalah ikatan dunia, tetapi kami percaya kepada janji akhirat. Ia adalah janji untuk bekerjasama demi rakyat dan ikrar untuk taat kepada Raja,” katanya.
Kepentingan rakyat
Fadzli turut memuji kepimpinan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang menurutnya sentiasa menghormati rakan-rakan dalam kerajaan serta mengutamakan kepentingan rakyat dalam setiap keputusan.
Katanya, pendekatan itu membolehkan hasil negeri dinikmati oleh rakyat melalui pelbagai program kebajikan dan bantuan.
“Saya bersyukur kerana Pahang dikurniakan seorang ketua kerajaan yang tidak sombong, menghormati rakan-rakan dan sentiasa memikirkan kebajikan rakyat.
“Sebab itu banyak hasil negeri dapat dinikmati rakyat,” ujarnya.
Mengulas krisis politik yang tercetus di Negeri Sembilan susulan penarikan sokongan oleh ADUN UMNO-BN terhadap kerajaan negeri, beliau berkata PH Pahang mengambil pendirian berbeza dengan terus mempertahankan kerajaan negeri sedia ada.
“Bila berlaku krisis di Negeri Sembilan sehingga ada yang menarik sokongan, kami di Pahang berkata tidak.
“PH akan terus meneguhkan dan mempertahankan kerajaan negeri kerana kami percaya Pahang dipimpin dengan baik oleh Menteri Besar dan barisan Exconya,” katanya.
Menurut Fadzli, walaupun terdapat perkara-perkara tertentu yang mungkin tidak dipersetujui oleh PH, segala pandangan dan kritikan disalurkan melalui saluran yang betul tanpa menjejaskan kestabilan kerajaan.
Menegur kerajaan
Beliau berkata, sebagai ADUN lantikan sekalipun, beliau tidak pernah dihalang daripada menegur kerajaan secara terbuka di Dewan Undangan Negeri mahupun berkomunikasi terus dengan Menteri Besar.
“Ada perkara yang saya tidak puas hati, tetapi kami ada saluran.
“Saya boleh menegur kerajaan secara terbuka dalam DUN dan ada masanya saya bertemu Menteri Besar secara bersemuka. Saya menghantar mesej kepadanya tanpa mengira masa dan beliau sentiasa memberikan maklum balas,” katanya.
Fadzli turut menegaskan bahawa PH tidak mempunyai rekod mengkhianati rakan politik dan akan terus mempertahankan kerajaan yang dianggap memberi manfaat kepada rakyat.
“Ini adalah adab dan budaya persahabatan yang perlu dipelihara.
“Kerajaan yang baik seperti di Pahang akan terus dipertahankan kerana prinsip kami adalah menjaga rakyat, bukannya menjaga kantung sendiri,” katanya.
Beliau menambah bahawa perjuangan politik seharusnya berpaksikan khidmat kepada rakyat dan bukannya kepentingan peribadi atau perebutan kuasa.
“Menang, teruskan khidmat. Kalah, terlepas daripada soal jawab dunia tetapi tetap perlu menjawab di akhirat,” kata beliau lagi.
BACA JUGA PRN lagi? UMNO-BN ulang episod pandemik, rakyat terpaksa bayar ‘bil politik’