PRN lagi? UMNO-BN ulang episod pandemik, rakyat terpaksa bayar ‘bil politik’
Tindakan UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang mencetuskan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan serta Johor menyerlahkan budaya politik mabuk kuasa yang akhirnya memaksa rakyat menanggung kos dan risiko yang tidak perlu.
Exco Pemuda AMANAH Nasional, Fadhli Umar Aminolhuda berkata, sejarah telah menunjukkan bagaimana percaturan politik yang mengutamakan perebutan kuasa boleh membawa kesan besar kepada rakyat, sebagaimana yang berlaku semasa krisis politik Sabah pada 2020.
Beliau mengimbas kembali bagaimana cubaan menukar kerajaan negeri ketika itu membawa kepada pembubaran DUN Sabah dan seterusnya Pilihan Raya Negeri (PRN) yang diadakan ketika negara masih bergelut dengan pandemik Covid-19.
“Perdana Menteri ketika itu sendiri mengakui bahawa PRN Sabah menyumbang kepada gelombang ketiga Covid-19.
“Lebih parah, pilihan raya itu menelan belanja kira-kira RM130 juta wang rakyat yang boleh digunakan untuk tujuan lain yang lebih penting,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Fadhli berkata, situasi hampir sama kini berlaku di Negeri Sembilan apabila 14 ADUN UMNO-BN menarik sokongan terhadap kerajaan pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, sekali gus mencetuskan krisis politik yang membawa kepada pembubaran DUN.
Menurutnya, tindakan tersebut sukar diterima memandangkan Kerajaan Perpaduan menerima mandat rakyat pada PRN 2023 dan DUN Negeri Sembilan sepatutnya boleh bertahan sehingga 2028.
“Alasannya prinsip. Tetapi prinsip apakah namanya jika mandat yang diberikan rakyat akhirnya dijadikan alat tawar-menawar kuasa?
“Prinsip apakah yang memaksa rakyat kembali ke medan pilihan raya sebelum tempoh matang DUN?” tempelaknya.
Tiada ancaman majoriti
Dalam masa sama, Fadhli turut mempersoalkan tindakan membubarkan DUN Johor walaupun kerajaan negeri itu tidak berdepan sebarang ancaman terhadap majoriti atau kestabilan pentadbiran.
Katanya, Johor ketika ini merupakan kerajaan BN yang kukuh dan tidak berdepan sebarang krisis politik yang mendesak pembubaran dilakukan.
“Jika alasannya kestabilan, Johor sudah stabil. Jika alasannya mandat, mandat masih berjalan.
“Maka semakin sukar untuk menolak andaian bahawa pembubaran ini lebih berkait dengan penyusunan semula kuasa politik BN berbanding keperluan sebenar rakyat,” ujarnya.

Pemimpin muda AMANAH berkenaan turut mengingatkan bahawa pilihan raya bukan sahaja membawa implikasi politik, malah memberi kesan kepada sentimen pelabur dan keyakinan pasaran.
Menurutnya, pasaran kewangan lazimnya sensitif terhadap ketidaktentuan politik, manakala data terkini turut menunjukkan aliran keluar pelaburan asing daripada pasaran tempatan.
Pada masa sama, beliau berkata penganjuran dua pilihan raya negeri secara serentak dijangka melibatkan kos puluhan juta ringgit wang awam.
Merujuk kepada PRN enam negeri pada 2023 yang dianggarkan menelan belanja RM420 juta serta PRN Johor 2022 yang dianggarkan sekitar RM96 juta, Fadhli berkata wang tersebut sepatutnya boleh disalurkan kepada keperluan rakyat.
“Puluhan juta ringgit itu boleh digunakan untuk sekolah, klinik, bantuan krisis, infrastruktur kecil dan program perlindungan sosial.
“Yang mabuk ialah orang politik, tetapi yang pening ialah rakyat,” bidasnya.
Kemenangan Pyrrhus
Fadhli turut menyifatkan tindakan tersebut sebagai satu bentuk “kemenangan Pyrrhus”, merujuk kepada istilah sejarah yang menggambarkan kemenangan yang dicapai dengan kos terlalu tinggi sehingga akhirnya merugikan pihak yang menang sendiri.
“Mungkin UMNO-BN merasakan mereka sedang menyusun kemenangan politik.
“Tetapi jika harga kemenangan itu ialah ketidakstabilan, pembaziran wang rakyat, gangguan pentadbiran dan keletihan rakyat terhadap politik, maka itu bukan kemenangan yang bijak,” katanya.
Sehubungan itu, Fadhli menyeru rakyat menilai sendiri pihak yang benar-benar memperjuangkan kestabilan politik dan kepentingan awam, berbanding pihak yang didakwa menggunakan alasan kestabilan untuk memperluaskan pengaruh serta kedudukan politik masing-masing.
“Negara ini bukan milik UMNO dan BN. Malaysia ini milik rakyat,” tegas beliau lagi.
BACA JUGA Bersama ni Muda 2.0, tapi tak mustahil jadi sama macam Bersatu