Bang Mat mahu budaya berkebun jadi gaya hidup rakyat
Presiden AMANAH yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengajak rakyat menjadikan amalan menanam makanan sendiri sebagai budaya harian, walaupun hanya di halaman rumah atau dalam pasu.
Beliau berkata, usaha kecil seperti menanam sayur, cili, serai atau tanaman keperluan harian mampu memberi impak besar kepada keterjaminan makanan negara selain membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup.
Mohamad, yang lebih dikenali sebagai Bang Mat, berkata demikian ketika menghadiri Majlis Pelancaran Laman Dapur Kasih Parlimen Kota Raja bersama Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pagi ini.
Menurut beliau, konsep “tanam apa yang kita makan, makan apa yang kita tanam” wajar dipupuk dalam kalangan masyarakat kerana ia bukan sahaja menjimatkan perbelanjaan isi rumah, malah meningkatkan penghargaan terhadap makanan yang dihasilkan.
“Kadang-kadang kita tidak perlu bermula dengan sesuatu yang besar. Di halaman rumah, di kawasan komuniti, malah dalam pasu sekalipun, kita boleh mula menanam sayur, cili, serai atau apa sahaja yang menjadi keperluan harian keluarga,” katanya.
Beliau berkata, apabila masyarakat menghasilkan sendiri sebahagian daripada keperluan makanan, mereka bukan sahaja menikmati hasil yang lebih segar, malah memahami usaha dan sumber yang diperlukan untuk mengeluarkan makanan.
“Bila kita menanam sendiri, bukan sahaja dapat berjimat, malah kita lebih menghargai makanan dan usaha yang diperlukan untuk menghasilkannya. Inilah antara langkah kecil yang boleh memberi kesan besar kepada keterjaminan makanan negara,” katanya.
Bang Mat turut menegaskan bahawa aktiviti bercucuk tanam bukan sekadar untuk menuai hasil, sebaliknya menjadi medium membentuk nilai tanggungjawab, budaya berjimat cermat dan semangat kebersamaan dalam masyarakat.
“Tanam bukan sekadar untuk menuai hasil, tetapi untuk membina kesedaran. Dari satu benih yang ditanam, lahir rasa tanggungjawab, semangat berjimat dan kasih sayang sesama masyarakat,” katanya.
Beliau berharap lebih banyak komuniti dan keluarga di seluruh negara dapat menggerakkan inisiatif kebun dapur sebagai usaha menyokong agenda keterjaminan makanan serta memperkukuh daya tahan negara dalam menghadapi cabaran bekalan makanan pada masa depan.
BACA JUGA Sifatkan lantikan untuk tenangkan gelora politik Perlis, tetapi Husna tolak jawatan lantikan MB